Kehilangan rizab AS$128 bilion cetus kempen publisiti parti pembangkang Turki


ANKARA – Kehilangan rizab sebanyak AS$128 bilion daripada bank pusat Turki telah mencetuskan kempen publisiti dari parti pembangkang yang mahu mengetahui keberadaan wang tersebut dan tindakan polis untuk menghentikan soalan ditanya.

Republican People’s Party (CHP) berkata, sebanyak AS$128 bilion rizab asing digunakan semasa bekas Menteri Kewangan, Berak Albayrak untuk menstabilkan nilai lira Turki yang merudum dan ia merupakan hak perlembagaan parti untuk menyiasat di mana rizab tersebut dibelanjakan.

Sepanduk CHP digantung di seluruh negara menanyakan mengenai kehilangan wang itu ketika parti itu cuba meningkatkan kesedaran mengenai kesukaran kewangan yang dihadapi Turki.

Polis menggunakan semburan air dan kenderaan tentera untuk menghentikan usaha parti tersebut.

Sepanduk yang digantung di balkoni ditanggalkan para pegawai.

CHP berikrar untuk terus menggantung sepanduk di bangunan-bangunan dan papan iklan selagi polis terus menanggalkannya.

“Kami menanyakan mengenai wang untuk golongan miskin, mereka yang memerlukan dan anak yatim,” kata pemimpin CHP, Kemal Kilicdaroglu melalui Twitter.

Beratus-ratus ahli parti menukar gambar profil sosial media mereka kepada ‘128’ yang merujuk kepada kempen publisiti itu.

Bekas Gabenor bank pusat, Naci Aqbal dilaporkan dipecat selepas beliau cuba melancarkan siasatan tentang kehilangan rizab tersebut.

Bank tersebut telah menukar empat Gabenor dalam tempoh 20 bulan, dengan setiap seorang dipecat menerusi perintah presiden tanpa sebarang sebab diberikan.

Pada 24 Februari lalu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, wang dalam jumlah yang besar telah disalurkan kepada usaha negara untuk membendung penularan koronavirus.

Rizab bank pusat kini dipercayai berjumlah kira-kira AS$43 bilion.

Pada November lalu, Goldman Sachs berkata, bank tersebut telah tersalah belanja sebanyak AS$100 bilion rizabnya untuk mengehentikan penurunan nilai lira selama 10 bulan pertama 2020.

“Bajet NASA untuk 2020 ialah AS$22.6 bilion. Kita boleh pergi ke planet Marikh dengan AS$128 bilion,” kata Serif Turgur dalam Twitter.

Ahli Parlimen CHP, Kamil Oktay Sindir berkata, kehilangan rizab itu menunjukkan kurangnya ketelusan kewangan di negara tersebut, yang mana beberapa projek kerjasama antara kerajaan dan swasta telah dikecualikan daripada audit Akaun Mahkamah Turki.

Beliau menjelaskan bahawa salah satu misi utama Ahli Parlimen, yang mewakili rakyat, adalah memantau bajet dan sumber kewangan Turki.

“Kami memperolehi hak ini daripada perlembagaan.

“Rakyat Turki yang telah membayar cukai yang besar berhak mendapat kebertanggungjawaban mengenai setiap sen yang dibelanjakan daripada kerajaan

“Tindakan sedemikian oleh bank pusat memusnahkan kredibiliti ekonomi Turki dan mereka tidak menggalakkan pelabur asing menanam modal di negara ini kerana kepercayaan mereka terhadap fungsi ekonomi terhakis.

“Fungsi ekonomi sebuah negara tidak sepatutnya bergantung kepada pemerintahan seorang,” katanya. MG

Turki ingin hubungan yang lebih baik dengan Israel

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker