Pukul pengawal peribadi, terbongkar pula ‘bisnes’ judi online majikan


SEMUANYA bermula dengan kisah pukul pengawal peribadi yang turut diugut bunuh majikannya kerana berpuasa.

Namun kini, siasatan polis bukan hanya tertumpu kepada kes pukul pengawal peribadi dan ugut itu sahaja.

Memetik sidang akhbar Polis Selangor hari ini, suspek utama yang membelasah pengawal peribadi dan rakannya kerana berpuasa dipercayai menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

Malah suspek juga terlibat dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, semuanya terbongkar susulan serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah seorang suspek di daerah Klang.

Selepas tangkapan dilakukan, polis membuat pemeriksaan dan menemui sejumlah 12,500 keping wang tunai matawang dolar Amerika Syarikat (AS).

Turut ditemukan dalam serbuan itu 100 keping jongkong emas dengan berat satu kilogram sekeping.

“Jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM28.45 juta berdasarkan harga emas semasa,” katanya.

Arjunaidi berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini.

Turut dirampas adalah sepucuk pistol dengan 10 biji peluru, lima telefon bimbit dan rotan yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

Individu terbabit dikatakan ‘kepala’ sindiket yang sudah menjalankan perniagaan haram itu sejak beberapa tahun lalu di beberapa lokasi.

Arjunaidi berkata, pihaknya masih menyiasat secara mendalam mengenai sindiket berkenaan termasuk berapa lama kumpulan itu bergiat aktif.

Polis juga pada masa sama meminta agar orang ramai bertenang serta tidak membesarkan isu ini termasuk mengaitkan dengan isu perkauman.

Sementara itu, Harian Metro memetik sumber melaporkan, individu berusia 40-an terbabit dikatakan menjalankan kegiatan nombor ekor tidak berlesen dan penggunaan pengawal peribadi sebagai perlindungan daripada musuh perniagaan.

“Individu terbabit menjalankan operasi haramnya di beberapa tempat termasuk di Perak, Kuala Lumpur dan Pahang,” katanya.

Terdahulu, dua pengawal peribadi dibelasah dan diacukan pistol disebabkan enggan menuruti arahan majikan supaya tidak berpuasa.

Mangsa berusia 43 tahun bersama seorang lagi rakan sekerja dibelasah menggunakan rotan oleh majikannya di rumah di Batu Nilam, Klang.

Susulan itu, polis menahan empat individu dipercayai terbabit dalam kejadian dua lelaki dipukul di belakang badan dengan rotan oleh majikannya seperti tular di media sosial.

Mahkamah Majistret Klang membenarkan permohonan polis untuk menahan reman semua empat suspek selama tiga hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang sebelum dipukul dengan sebatang rotan serta diacu pistol.

Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah). Utv

Sebab puasa, bodyguard kena pukul, ugut bunuh oleh majikan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker