Pasangan suami isteri terjun laut, anak tahan kenderaan minta tolong
Seorang kanak-kanak lelaki bertindak menahan kenderaan di kilometer 1.0 Jambatan Pulau Pinang arah pulau, manakala ayahnya mempertaruhkan nyawa terjun ke laut untuk menyelamatkan ibunya dalam kejadian petang tadi.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, wanita berusia 45 tahun terbabit dipercayai terjun ke laut selepas motosikal ditunggang suaminya berhenti di tepi jambatan itu.
Si suami yang terkejut dengan tindakan isterinya kemudian bertindak terjun juga untuk menyelamatkan isterinya, manakala anak mereka berusia 10 tahun menahan kenderaan bagi meminta bantuan.
Beberapa penunggang motosikal yang melihat kejadian itu kemudian berhenti dan menghubungi pihak berkuasa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 4.40 petang yang memaklumkan insiden seorang wanita terjun ke laut.
Katanya sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Sebaik tiba kami mendapati seorang wanita terjun berada dalam namun dia diselamatkan suaminya yang turut dan dibawa ke tiang 107 jambatan tersebut,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Katanya, pihak bomba kemudian turun ke situ menggunakan kaedah ‘rappelling’ sebelum memujuk dan menenangkan mangsa serta pasangan tersebut dibawa ke jeti Batu Uban menggunakan bot nelayan diiringi polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad mengesahkan kejadian dan berkata polis masih menjalankan siasatan berhubung punca wanita berkenaan bertindak sedemikian. Bernama
Wanita ditemui mati dengan kesan jerut, lelaki tergantung di ruang tamu