Pandelela takut jarum suntikan

Ratu terjun negara Pandelela Rinong, seorang altet yang dikenali sebagai amat berani dan mampu untuk terjun daripada platform setinggi 10 meter dengan mudah, namun ramai yang tidak mengetahui bahawa sejak kecil lagi beliau sebenarnya takut kepada jarum suntikan.

Namun, demi keselamatan diri dan rakan-rakan lain, atlet 28 tahun itu mengatasi ketakutannya itu, untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 bersama-sama atlet lain dan pegawai yang terlibat dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo.

“Saya jenis yang takut jarum tapi tadi syukur tak sakit, jururawat pun baik, semua orang mesra dan bekerjasama,” katanya selepas menerima suntikan pertama Pfizer-BioNTech bersama 263 atlet dan individu lain di Pusat Vaksinasi Kompleks Sukan Desa Tasik di Cheras hari ini.



Selepas pengambilan itu, atlet dari Sarawak itu kini lebih yakin dalam menjalani rutin harian, berlatih dan pertandingan, termasuk Piala Dunia Terjun di Tokyo yang dijadualkan dari 1-6 Mei.

Pandelela, yang memenangi pingat perak acara terjun 10 meter platform seirama di Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Cheong Jun Hoong, kelihatan bersemangat untuk mengambil bahagian dalam kejohanan, mahu menggunakan pertandingan di Tokyo itu bagi mendapatkan semula suasana pertandingan lebih awal daripada Olimpik pada Julai di venue yang sama.

Sementara ratu gimnastik Farah Ann Abdul Hadi menyatakan yang beliau berasa lebih selamat untuk menyertai Piala Cabaran Dunia FIG (Persekutuan Gimnastik Antarabangsa) di Kaherah, Mesir pada Jun, untuk pertandingannya yang pertama selepas Sukan SEA Filipina pada November 2019.

“Saya ada pertandingan pertama setelah sekian lama, dan saya rasa lebih selamat dan selesa untuk pergi ke Mesir (selepas divaksinasi), sebab kita mesti risau disebabkan pandemik dan bertanding di luar negara, jadi saya rasa lebih selamat,” katanya.



Atlet berusia 26 tahun itu kelihatan teruja dan risau untuk menyertai Olimpik selepas memenangi tiga pingat emas bagi acara – ‘all-round’, palang bertingkat dan senaman lantai – di Manila.

“Amat teruja dan sedkit risau untuk sertai pertandingan itu, kita ada pertandingan dalaman dengan hakim dalaman, atlet-atlet, tetapi tentunya saya teruja untuk bertanding di luar negara, untuk musim yang akan datang.

“Sasaran saya ialah untuk sertai dan bertanding, melihat kepada aras pertandingan, sebab kita lama tidak bertanding, jadi untuk mendapatkan keyakinan semula dan merasai perasaan menyertai pertandingan itu kembali,” katanya.

Berikut reaksi atlet terpilih selepas vaksinasi:



Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik): “Masa suntikan itu pun sebenarnya tak sakit, saya rasa selesa dan proses keseluruhannya mudah sahaja, amat selesa, dia (pegawai perubatan) akan jelaskan semua perkara dan untuk sekarang saya rasa sangat bersyukur dapat divaksin.”

Nur Dhabitah Sabri (terjun): “Saya harap tiada simptom yang menjejaskan latihan saya dan semunaya berjalan dengan baik.”

Muhammad Ziyad Zolkefli (olahraga paralimpik): “Saya tidak mengalami sebarang rasa sakit, vaksinasi ini melindungi jadi saya rasa selamat, tetapi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal masih perlu dipatuhi .”

Muhammad Fadhil Mohd Zonis (berbasikal trek): “Gemuruh dan teruja sebab saya ada baca kesan sampingan (vaksinasi), tetapi selepas 15 minit dan badan masih baik, jadi saya harap selepas ini badan terus dalam keadaan baik dan tiada kesan sampingan.”



S Suresh (memanah paralimpik): “Vaksinasi ini bagus untuk semua sebab kami nak bersedia untuk Tokyo, selepas vaksin pertama saya gembira kerana berpeluang pergi (sertai) pertandingan.”

– Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker