Azmin gagal pikul amanah, dinasihatkan letak jawatan

KUALA LUMPUR 31 Julai – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dinasihatkan melepaskan jawatannya kerana gagal memikul amanah dengan baik apabila tidak menghadiri mesyuarat tertinggi parti sejak November 2018.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tanjong Malim, Muhamad Alif Asyraf berkata, ketidakhadiran Mohamed Azmin ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sejak November lepas seperti didedahkan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merupakan satu pelanggaran disiplin yang tidak seharusnya berlaku.

“AMK Cabang Tanjong Malim menasihatkan Mohamed Azmin untuk melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR dengan sukarela. AMK Perak melihat beliau tidak berjaya memikul amanah sebagai Timbalan Presiden dengan baik.

“Ini menunjukkan Mohamed Azmin tidak lagi meletakkan organisasi PKR sebagai yang perlu beliau utamakan.

“Sikap acuh tidak acuh terhadap mesyuarat ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dikompromi kerana memberikan teladan amat tidak baik kepada ahli parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Presiden dan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail malam tadi turut membuat teguran yang sama dengan membandingkan komitmen yang ditunjukkan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih mementingkan urusan parti walaupun sibuk dengan tugas Perdana Menteri.

Tambah Muhamad Alif, apabila Mohamed Azmin selaku Timbalan Presiden gagal memberikan komitmen, beliau khuatir dengan nasib parti itu yang perlu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker