Nonny Nadirah minta maaf di awal Ramadhan.
Kuala Lumpur: Sempena Ramadan, penyanyi dan pelakon, Nonny Nadirah yang terpalit kontroversi baru-baru ini tampil memohon maaf menerusi Instagram Story semalam.
Dalam hantaran sama, Nonny turut meminta pengikutnya di platform media sosial itu mendoakan yang terbaik buatnya.
“Saya rindu semua. Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan, saya Nonny Nadirah ingin memohon maaf di atas segala salah dan silap yang terang mahupun yang tersembunyi.
“Doakan yang terbaik buat saya. Lillahi ta’ala, saya sayang semua kerana Allah,” tulisnya.
Nonny juga mengambil peluang itu untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa menyokongnya.
“Keluarga, sahabat, peminat, minta maaf dan terima kasih untuk segalanya. Saya simpan semua komen saya. Hanya Allah saja yang mengetahui segala isi hati. Minta maaf. Minta maaf. Minta maaf,” tulisnya. Nonny juga mengingatkan pengikutnya supaya tidak meninggalkan amal ibadat yang wajib.
“Jangan tinggalkan yang fardhu, buatlah yang termampu. Mana yang baik, ambil kerana semua itu datangnya dari Allah.
“Yang tak baik itu saya. Setiap individu itu melalui fasa ujian yang berlainan. Apapun yang anda cakap saya terima dengan hati yang terbuka. Saya sayang anda semua. Selamat berpuasa semua. Jaga diri,” tulisnya.
Nonny yang sebelum ini bertudung mencipta kontroversi apabila memuat naik gambar yang mengejutkan banyak pihak dengan penampilan barunya yang agak seksi.
Semakan Harian Metro di Instagram Nonny juga mendapati dia sudah memadam semua gambarnya.
You must be logged in to post a comment.