UMNO bincang isu pemilihan parti dalam mesyuarat MT Ramadan nanti – Ahmad Maslan


KUALA LUMPUR: UMNO akan memutuskan sama ada akan meneruskan pemilihan atau menangguhkannya dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dijadualkan pada Ramadan nanti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, bagaimanapun berkata tarikh mesyuarat itu belum ditetapkan buat masa ini.
“Mesyuarat MKT akan kita lakukan dalam bulan Ramadan – yang kemungkinan besar bermula Selasa depan. Dan dalam bulan Ramadan itu, kita belum tetapkan tarikhnya bila (mesyurat MKT).

“Saya kiralah, dalam mesyuarat itu akan ditentukan bilakah kita ingin mengadakan pemilihan parti.

“Ada atau tidak pemilihan parti, itu bergantung pada keputusan MKT. Dalam Perlembagaan UMNO, MKT berhak untuk menentukan,” katanya dalam sesi wawancara program Terus Terang disiarkan UMNO Online pada Sabtu.

Pemilihan UMNO diadakan setiap tiga tahun dan kali terakhir diadakan ialah pada Jun 2018. Perlembagaan parti itu bagaimanapun membenarkan MKT untuk menangguhkan pemilihan bagi tempoh tidak lebih 18 bulan dari tarikh pemilihan sepatutnya diadakan.

Ahli Parlimen Pontian itu menjelaskan, penangguhan pemilihan UMNO selalunya dibuat jika tahun pemilihan itu merupakan tahun pilihan raya.

Mengulas tentang kemungkinan pemilihan ditangguhkan, Ahmad menjelaskan beliau yakin tahun ini merupakan tahun pilihan raya memandangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah berjanji untuk membubarkan Parlimen tahun ini.

Katanya, janji itu dibuat kepada kira-kira 80 Ahli Parlimen pada Disember lepas, sehari selepas Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2021 diluluskan untuk bacaan kali ketiga.

“Sehari selepas itu, ada makan tengah hari, Perdana Menteri menyebut kepada kami yang hadir, pilihan raya tahun hadapan. Maksudnya, tahun inilah pilihan raya.

“Jadi saya sentiasa berpegang kepada kenyataan Perdana Menteri itu, sebab pada saya, Perdana Menteri tidak berbohong, lebih-lebih lagi apabila dia bercakap kepada 80 lebih Ahli Parlimen, daripada UMNO, Bersatu, PBS (dan lain-lain).

“Jadi kalau orang tanya bila pilihan raya, saya beranggapan saya berpegang kepada janji Perdana Menteri kepada kami, masih lagi tahun ini. Tapi kalau dia mungkir janji… ada Perdana Menteri mungkir janji ke?,” katanya lagi.

Pemilihan UMNO akhir tahun?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker