Mat Sentul semakin uzur, sering merindui rakan-rakan artis


Ketika diri sudah dijamah usia dan kudrat makin terbatas, kerinduan seseorang pada kenangan silam lazimnya bertandang.
Ingatan pada keluarga dan rakan-rakan yang pernah singgah dalam kehidupan seseorang itu sering terlintas.
Demikian juga dengan seniman berjiwa besar, Mat Sentul yang suatu masa lalu pernah menjadi penghibur segenap lapisan rakyat Malaysia.

Kemasyhuran dan kegemilangan yang pernah dinikmatinya sekitar tahun 1960-an semasa namanya di puncak kini hanya menjadi memori.
Celoteh dan karakter lucu Mat Sentul atau nama sebenarnya, Abdul Rasip Yahya tidak lagi mampu diperlihatkan artis yang kini mencecah usia 88 tahun.

Lebih mesra disapa Pak Mat, beliau kini sedang melalui fasa kehidupan yang sulit lantaran keuzuran dan terlantas sakit di kediamannya di Larkin, Johor.

Mat Sentul perlu dibantu oleh anaknya untuk bergerak dan perlu mendapatkan rawatan susulan hampir setiap di Hospital Sultanah Aminah (HAS).

Keuzuran pelakon veteran itu mendapat perhatian Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang mengunjungi pelakon filem Mat Bond dan Mat Tiga Suku di rumahnya baru-baru ini.

Dalam kunjungan tersebut, MAINJ yang diwakili Ketua Penolong Pengarah Zakat Baitulmal dan Wakaf, Azlan Abdullah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, keperluan makanan asas serta bantuan perubatan.

“Keadaan kesihatan Pak Mat dilihat semakin merudum dimamah usia dengan kebanyakan masa di rumah dia hanya terlantar terbaring sahaja.
“Tutur katanya juga kurang jelas dan dia perlu dipimpin oleh anaknya untuk bergerak ke mana-mana sahaja. Bagaimanapun, ingatannya masih jelas apabila bercerita tentang filem yang pernah dibintangi dahulu dan sesekali terukir senyuman di wajahnya,” kata wakil MAINJ, Nasir Ishak kepada portal Utusan Malaysia.

Mat Sentul belum pernah menerima bantuan Baitulmal sebelum ini dan mendapat bantuan RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Nasir juga berkata, menerusi perbualan dengan anak Mat Sentul, Roslee Rashid, 60, sekalipun ayahnya kurang sihat namun beliau masih ingat setiap filem yang pernah dibintanginya.

Bahkan, Mat Sentul juga, jelas beliau, ada menyuarakan rasa rindunya pada rakan-rakan seperjuangan.

“Mat Sentul rindu untuk bertemu rakan seperjuangannya. Katanya, sejak dia sakit, tak ada rakan artis yang mengunjunginya,” kata Nasir seperti dilaporkan portal itu lagi. Awani

Mat Pakistan ‘kantoi’ tengah projek

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker