Bagai sirih pulang ke gagang! Faizal Tahir ‘reunion’ dengan Mirwana menerusi lagu…


“Tanpa Mirwana tiadalah Faizal Tahir. Saya cuma ingin mengembalikan nostalgia dan ini adalah satu penghargaan buat mereka,” kata Faizal Tahir setelah mengejutkan ramai orang apabila beliau kembali berkolaborasi bersama Mirwana menerusi lagu Aku Tanpa CintaMu 2021.

Setelah 16 tahun, rata-rata netizen berasa amat teruja dan meninggalkan komen yang baik setelah melihat hanataran Faizal dan Mirwana di laman media sosial mengenai ‘reunion’ ini.

Bersama dengan Hafiz, Izzat, Akmal dan Along, Faizal merupakan salah seorang anggota Mirwana dan telah keluar daripada kumpulan tersebut pada 2005.

Setahun selepas itu, Faizal telah menyertai sebuah pertandingan nyanyian realiti dan sejak itu beliau terus mengorak langkah sebagai penyanyi solo sehinggalah ke hari ini dimana Faizal juga telah mencipta nama sebagai komposer dan penerbit muzik. Mirwana pula tetap meneruskan perjalanan mereka dan terus bergiat aktif dalam arena nasyid bersama beberapa anggota baharu.

Aku Tanpa CintaMu telah membawa tuah kepada kumpulan nasyid Mirwana dan Jay Jay apabila diangkat sebagai Lagu Nasyid Pilihan Anugerah Era 2005. Alunan melodi yang merdu serta bait-bait lirik yang menyentuh jiwa telah berjaya meletakkan Mirwana sebagai antara kumpulan nasyid paling popular ketika itu.

“Saya tahu ramai yang bertanya dan ingin kami berkerjasama semula. Saya dan Mirwana sebenarnya sudah berbincang dari tahun lepas lagi, cuma tunggu masa yang sesuai. Saya rasa ini adalah waktu yang baik untuk mengeluarkan lagu ini,”ulas Faizal mengenai bagaimana bermulanya projek berkenaan.

Sementara itu, salah seorang anggota Mirwana iaitu Hafiz berkata, apa yang lebih penting adalah ukhuwah antara mereka, keluarga dan sahabat diharap akan lebih erat dan baik.

“Sejak kebelakangan ini, kami dapat melihat pelbagai usaha yang dilakukan oleh penggiat seni untuk mengangkat semula nasyid dan kami tidak mahu ketinggalan. Maka 2021 adalah tahun yang tepat untuk kami susuli dengan sebuah lagu nostalgia yang diberi nafas baru.

“Pengunduran Faizal pada 16 tahun lalu adalah satu keputusan yang tepat. Jelas ketika itu, Mirwana mempunyai hala tuju muzik, cara dan matlamat yang sedikit berbeza.

“Alhamdulillah nampaknya impian dan hasrat Faizal dengan muziknya lebih berhasil dan berjaya apabila diteruskan secara solo dan itu sesuatu yang sukar untuk kami capai bersama,” tuturnya.

Lebih menarik lagi, kesemua ahli baharu kumpulan Mirwana iaitu Naim, Faiz dan Ikram turut sama menjayakan muzik video Aku Tanpa CintaMu 2021 yang mengangkat tema dan isu penderaan kanak-kanak.

“Isu penderaan ini adalah satu gejala dan tragedi yang mesti diberi perhatian oleh semua. Mudah-mudahan menjadi asbab hidayah Allah agar menyentuh hati dan jiwa masyarakat,”tambah Hafiz.

Aku Tanpa CintaMu 2021 juga telah dimuatkan dalam koleksi audio Qibla yang baru dilancarkan oleh Faizal dan syarikat rakamannya, Faithful Music. Selain itu Faizal turut memuatkan rakaman semula Ceria Aidilfitri dan lagu baru berjudul Syahadah bersama dengan sepuluh klip audio tadabbur yang dibaca sendiri.

Semoga lagu Aku Tanpa CintaMu 2021 ini dapat mengubat kerinduan para peminat kumpulan Mirwana dan semoga Ramadan ini memberi makna kepada seluruh umat Islam.

Aku Tanpa CintaMu adalah karya sepenuhnya oleh Mujahid Abdul Wahab manakala sususan muzik versi 2021 ini pula telah digubah oleh Adib Hussin dan Faizal sendiri. Lagu berkenaan merupakan terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia selaku pengedar bersama.

Dengarkan Aku Tanpa CintaMu 2021 di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox bermula hari ini, manakala video muzik rasmi pula pada 12 April di saluran YouTube Faizal Tahir. Utv

[VIDEO] Lagu dan Muzik Video Dari Faizal Tahir “Empat Dara 2020” Akhirnya Diperdengarkan, “Yeayyy!! Yang Ditunggu2 Dah Keluar”..Apoo Kepitt….

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker