Penularan ‘perbualan Anwar-Zahid’ sistematik, seperti serangan ‘terancang’
Seorang pemimpin PKR menarik perhatian pengikutnya kepada cara rakaman dikatakan perbualan antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, tersebar.
Tian Chua berkata rakaman itu nampaknya disebarkan secara sistematik sejak dua hari lalu, dengan mesej yang disebarkan secara teratur dan bersasaran.
“Jelas ini sebahagian daripada serangan yang terancang dan terselaras untuk memburukkan nama lawan politik kerajaan Perikatan Nasional,” katanya di Facebook.
Tian berkata pihak penguatkuasaan undang-undang seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia patut siasat “tindakan jenayah” ini.
“Isu yang kita sepatutnya marah adalah betapa begini tahapnya memburuk-burukkan lawan dalam politik hari ini.”
Namun apa yang lebih membimbangkan Tian adakah ada pihak ketiga terlibat dalam merakam perbualan peribadi pemimpin-pemimpin politik.
Beliau berkata rakyat patut berasa takut sekiranya ada pihak ketiga secara rahsia memantau orang yang kritikal atau melawan parti pemerintah.
“Merakam perbualan telefon secara terselubung bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga mencabul kebebasan politik,” katanya.
Tian berkata rakyat umumnya sedar kerajaan mempunyai teknologi dan kapasiti untuk memantau ribuan rakyat, namun ia patut hanya boleh dilakukan dengan tujuan untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman.
“Tidak kira rakaman itu tulen atau palsu, tidak mungkin perbualan peribadi antara pemimpin mewakili dua parti politik utama boleh jadi ancaman kepada keselamatan negara atau ketenteraman awam.”
Zahid dan Anwar nafi perbualan berkenaan, yang dikatakan berlaku selepas Perhimpunan Agung Umno 2020 baru-baru ini.
Presiden Umno itu diasak pengkritik ekoran dakwaan ada usaha melibatkan ahli parti itu untuk bekerjasama dengan pembangkang. FMT