Umno sedang dikhianati dari luar dan dalam



Sebaran :


Ada sesuatu yang besar nampaknya sedang dalam perancangan iaitu cubaan menyah daftar Umno oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang dijangka selesai pada bulan Jun.

Ada yang berpandangan bahawa kedudukan Umno tidak akan terjejas kerana mereka masih mempunyai BN yang boleh digunakan kelak. Namun, sejauh mana pandangan ini benar?

Langkah berkenaan – tidak lain dan tidak bukan – hanyalah suatu krisis epik yang direkayasa hanya untuk mencetuskan rombakan ke atas keseluruhan landskap politik orang Melayu.



Kebarangkaliannya lebih tinggi apabila MCA dan MIC kelihatan lebih rela berlaga pipi, bercium mulut dengan pemain kuasa dalam Perikatan Nasional (PN).

Berminggu-minggu lamanya khabar angin bahawa MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bakal meninggalkan BN untuk menyertai PN.

Khabar-khabar itu sedang berterbangan di udara yang memenuhi setiap penjuru lorong-lorong gelap yang dipenuhi oleh pemain politik.



BN hanya tinggal empat parti sekarang dan sekiranya Umno ditinggalkan sendirian terkontang-kanting, maka sudah tentu BN juga bakal dinyah daftar. Jadilah ahli-ahli parlimen dan pucuk pimpinan mereka seperti gelandangan – tiada lagi rumah untuk berteduh.

Jika bersama PN, Bersatu dan Muhyiddin Yassin sudah pasti MCA dan MIC memiliki kelebihan, jaminan dan keselesaan kerana mereka bergabung dengan pemegang kantung wang ringgit negara.

Justeru memanglah sukar untuk mereka menggigit tangan yang memberi, biar pun tanpa mengira prinsip dan persahabatan. Bagi mereka, nilai sesebuah kesetiaan terletak hanya pada wang dan kuasa.



Apalah sangat nilai perjuanga 60 tahun bersama Umno.

Ditelan dan dicerna dari dalam

Situasi mereka itu sama sahaja seperti pasangan yang bercinta kemudian akhirnya berpisah dek memilih untuk selaku mengelak daripada berjumpa.



Permainan Muhyiddin sekarang pula nampak seolah-olah mahu membunuh Umno dengan menghapuskan dahulu ‘kluster mahkamah’ sebelum membuka ruang kepada penyitaan parti itu.

Andainya nanti Umno benar-benar mati dalam keadaan ia tiada sebarang pelan sandaran – sambil dipinggirkan sekutu utama mereka – maka akan terbukalah ruang untuk Muhyiddin dan Bersatu mengutip sisa-sisa Umno (ahli-ahli parlimennya) ketika mereka bak laskar tidak bertuan.

Ia mungkin suatu kehebatan rancangan perpaduan ummah yang diusahakan PN dan beberapa pihak di dalam Muafakat Nasional (MN). Cumanya, jika ia menjadi kenyataan Umno itulah yang dijadikan korban sampingan untuk ditelan dan dicerna dari dalamnya sendiri.



Menjelang dan pascapengumuman Muhyiddin untuk membatalkan pendaftaran Umno akan dilihat sebagai suatu insiden cacamarba perebutan ahli-ahli parlimen Umno yang terkapai-kapai di pasaran jualan murah akhir tahun.

Tetapi, sebenarnya, ‘jualan prapelancaran’ sudahpun berjalan dan ia berlangsung dengan lancar tanpa kita sedar.

Ekspedisi memancing ahli parlimen – gerakan yang dipercayai ditaja Muhyiddin dan konco-konconya dengan slogan ‘sertai kami sekiranya anda mahu terus bertahan atau kekal di sana dan akan dihapuskan’ – bukan lagi rahsia.

Berduyun-duyun ahli parlimen Umno dan Pakatan Harapan (PH) mengalami keadaan ini sejak lebih dari setahun lalu, malah sebelum Langkah Sheraton lagi.

Nampaknya, Umno pada hari ini sedang menelan kepahitan pil sianida yang pada suatu ketika dulu mereka sendiri gunakan terhadap lawan politik mereka.

Menjadi sebahagian daripada pemerintahan paling teruk pernah disaksikan oleh negara ini, juga berada jauh dari tampuk kuasa, ketika demokrasi berparlimen dan Perlembagaan Persekutuan digantung, dengan presiden dan panglima perang utamanya sama ada pasti akan menghadapi sabitan jenayah atau telah habis dilelong kepada pengkhianat, Umno benar-benar dikepung dari semua arah di tengah-tengah rentetan cabaran yang belum pernah disaksikannya sebelum ini.

Umno kini sedang dimamah dari dalam dan dari luar. Parti yang mereka anggap sebagai rakan kongsi sedang menghenyak Umno hingga lumat.

Parti yang menjadi sekutu Umno selama enam dekad kini meninggalkan mereka terkapai-kapai. Dan telah difatwakan kepada ahli dan penyokongnya agar mereka dilayan sebagai seteru mutlak. Kini mereka tiada pilihan selain daripada terus memberikan balasan yang setimpal.

Pada waktu dan saat ini, Umno sedang menghadapi saat-saat paling gelap dalam sejarahnya. Umno bakal merasakan pengkhianatan seperti dialami oleh PH.

Cuma bezanya, besar kemungkinan pengkhianatan ke atas Umno akan berakhir dengan hilangnya parti tersebut dari peta politik kita.

Sememangnya Umno tidak berhak atau layak untuk mendapat simpati daripada mana mana pihak. Merekalah yang memilih untuk bersekongkol dengan pihak yang punya sejarah mengkhianati orang (dan bakal mengkhianati mereka pula).

Tetapi, pertama kali saya dapat menyatakan dengan jujur bahawa saya berempati dengan mereka. Mk

HOWARD LEE

‘Kluster Kuasa’, ‘Kluster Broker’ bimbang UMNO sedang bangkit dengan kekuatan sendiri. – Zahid Hamidi


Sebaran :


Leave a Reply