JDT terus unggul di tangga teratas
ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali menemui rentak kemenangan selepas mudah menewaskan Melaka United FC (MUFC) 3-0 untuk kekal di tangga teratas pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Kebangkitan skuad Harimau Selatan itu memadam pengalaman pahit dialami selepas melakar dua keputusan seri ketika menentang Selangor FC, di laman sendiri pada 17 Mac lalu dan hampir diaibkan Perak FC namun bangkit dengan keputusan 2-2 ketika aksi di Stadium Perak, 21 Mac lalu.
JDT yang turun tanpa kelibat Naxto Insa selepas pemain itu digantung dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyaksikan Hariss Harun kembali beraksi bagi menguatkan posisi tengah.
Malah pengendali JDT, Benjamin Mora turut merombak beberapa posisi selepas Matthew Davies tidak diturunkan dalam perlawanan itu akibat kecederaan dan S Kunanlan mengambil alih tugas di posisi bek kanan selain posisi penjaga gol menyaksikan Haziq Nadzli membuat penampilan pertama bersama skuad utama.
Tuan rumah tampil garang di awal babak pertama selepas berjaya mendahului pelawat pada minit keempat berpunca daripada bola sepakan sudut Leandro Velazquez membuka ruang buat Adam Nor Azlin melonjak tinggi menanduk bola menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Kesilapan pemain pertahanan pelawat, Jang Suk-won yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya pada minit kelapan memudahkan tugas Velazquez yang pantas menolak bola kepada Bergson Da Silva yang bertindak pantas merembat bola menewaskan Khairul Fahmi.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan mula memberi tekanan terhadap benteng tuan rumah dan hampir mencipta gol pada minit ke-50 namun bola rembatan deras Sony Norde di luar kotak penalti sekadar singgah di tiang gol kiri ketika Haziq sudah tertewas.
Sekali lagi pelawat terlepas peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-73 apabila bola rembatan leret Norde di tampan Haziq namun Fakhrullah Rosil yang berada di posisi terbaik untuk menolak bola ke gawang yang kosong gagal melakukan penyudah tepat.
Ketika aksi memasuki minit ke-82, Bergson mencetak gol kedua peribadi apabila mudah menewaskan Khairul Fahmi selepas menerima bola umpanan pemain gantian, Mahamadou Sumareh untuk melengkapkan kemenangan skuad Harimau Selatan 3-0 menewaskan MUFC.
You must be logged in to post a comment.