Geng Nicky: Dua Datuk Seri, enam Datuk antara yang ditangkap


KUALA LUMPUR : Dua individu berpangkat Datuk Seri termasuk adik kepada Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan enam berpangkat Datuk antara 68 individu yang ditahan kerana terlibat dengan Geng Nikcy.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, berdasarkan perkongsian maklumat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), polis mempercayai sindiket tersebut terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Semakan mendapati terdapat lima buah syarikat yang bersekutu dengan Winner Dynasty Group berserta pengarahnya yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.



“Antara pengarah yang dimaksudkan adalah adik kepada Nicky Liow dan rakannya yang mana kesemua mereka memakai gelaran Datuk Seri dan Datuk,” katanya dalam sidang media di sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Selasa.

Dalam sidang media sama, Abdul Hamid berkata, seramai 118 orang diperiksa dalam 70 serbuan yang dilakukan bagi mengesan dan menangkap ahli Geng Nicky.

Seramai 42 orang (27 lelaki warga Malaysia, 15 warga China) dan enam wanita (tiga warga Malaysia) ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-langkah Khas 2010 (SOSMA).

Seramai 12 orang ditahan di bawah Akta Imigresen, lapan orang melibatkan tangkapan narkotik manakala 50 orang dibebaskan selepas proses dokumentasi selesai.



“Ini adalah julung kali kes jenayah komersial disiasat menggunakan prosedur di bawah SOSMA dan siasatan dibuat di bawah jenayah terancang Kanun Keseksaan,” ujarnya.

BACA: “Anak buah sendiri pengkhianat” – KPN dedah 34 anggota penguat kuasa sekongkol dengan Geng Nicky

Astro AWANI pada Selasa melaporkan polis menangkap 68 orang yang dipercayai merupakan ahli Geng Nicky yang dikaitkan dengan Nicky Liow.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, semua individu tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan termasuklah penggubahan wang haram.



Menurutnya, dalam serbuan tersebut, anggota polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 17 bersama satu kelopak peluru berisi sembilan butir peluru.

Pihak polis juga telah membekukan 41 akaun bank bernilai RM4,053,809.49 dan 35 unit kenderaan bernilai RM8,863,759.00 melibatkan 21 individu dan 16 entiti termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia. Awani

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker