Biden pilih calon wanita, orang Islam pertama ke mahkamah persekutuan

Photos of the 2020 Parsons Dinner, which honors a different distinguished African-American federal jurist each year.

WASHINGTON   – Presiden  Joe Biden mencalonkan sebilangan wanita kulit hitam,  seorang hakim berketurunan Asia-Amerika dan individu beragama Islam pertama untuk mengisi  jawatan hakim persekutuan  sebagai usaha memupuk kepelbagaian dalam sistem kehakiman Amerika Syarikat (AS).

Memilih haluan berbeza dengan pemimpin sebelum ini, Donald Trump yang berusaha  memenuhi  mahkamah persekutuan dengan hakim kulit putih, Biden memperkenalkan 11 calon beliau dengan hanya dua daripada mereka lelaki dan kedua-duanya berkulit hitam.

Calon utama senarai itu ialah Hakim berdarah Afrika-Amerika, Ketanji Brown. Beliau dicalonkan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan AS untuk Litar Daerah Columbia yang banyak mengendalikan kes utama.

Sekiranya disahkan Dewan Senat,  wanita berusia 50 tahun itu akan menggantikan Merrick Garland  yang kini Peguam Negara di bawah pentadbiran Biden. Beliau juga dalam kedudukan utama untuk mengisi jawatan hakim Mahkamah Agung jika terdapat kekosongan.

Setakat ini,  wanita kulit hitam belum pernah menduduki kerusi sembilan hakim Mahkamah Agung AS.

“Ketanji Jackson Brown  adalah antara hakim terbaik negara ini. Bijak dan amat berintegriti,” kata bekas pegawai Jabatan Kehakiman AS, Neal Katyal dalam komennya di laman Twitter berhubung pencalonan tersebut.

Biden juga mencalonkan dua wanita berdarah Afrika-Amerika lain untuk mengisi kekosongan di mahkamah rayuan persekutuan.

Antara yang dipilih sebagai hakim mahkamah daerah persekutuan  pula, dua daripada mereka berketurunan Afrika-Amerika (seorang daripada mereka lelaki), dua berdarah Asia-Amerika, seorang berketurunan Amerika Latin dan dua yang lain wanita kulit putih.

Zahid Quraishi, 45, akan menjadi orang Islam pertama berkhidmat sebagai hakim daerah persekutuan sekiranya diluluskan Senat.

Keluarganya berasal dari Pakistan dan beliau kini berkhidmat sebagai  majistret di New Jersey.

Di bawah Perlembagaan AS, Presiden mencalonkan hakim untuk berkhidmat di Mahkamah Agung dan mahkamah persekutuan lain manakala Senat mengundi untuk mengesahkan mereka. – AFP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker