Zul Ariffin belum temui jodoh


WALAUPUN sudah melewati usia 35 tahun, pelakon kacak, Zul Ariffin belum menemui wanita yang tepat untuk dijadikan suri hidupnya.

Tenang dan tidak tertekan saat ditanya perihal jodoh, Zul mengakui seronok menjalani kehidupan tanpa sebarang komitmen cinta buat masa ini.

Zul berkata, ramai saja selebriti lelaki yang lebih berusia daripadanya belum mendirikan rumah tangga membuatkan dia juga tidak terburu-buru.

“Kalau ada jodoh pasti tak ke mana. Saya okey saja walaupun belum berkahwin di usia sekarang ini.



“Jika dilihat ramai lagi selebriti lelaki terkenal yang belum berkahwin. Saya bukan satu-satunya lelaki yang belum temui jodoh.

“Jujur saya tak tertekan sebaliknya saya menerima ketentuan ini dengan hati terbuka dan positif. Masa yang tepat akan tiba. Tunggu sahajalah,” katanya.

Enggan bercerita perihal peribadi terlalu kerap, Zul mahukan peminat dan khalayak memberi tumpuan terhadap lakonannya dalam filem terbaharu berjudul Penunggang Agama.

Selain Zul, filem seram thriller ini turut dibintangi Azira Shafinaz, Nasir Bilal Khan, Sabrina Ali, Salina Saibi, Datuk Jalaludin Hassan dan Johan As’asri.



Filem arahan Syafiq Yusof ini mengisahkan mengenai pasangan suami isteri, Amir dan Anna yang berdepan cabaran getir kerana ibu tiri Amir, Datin Maria mengalami gangguan makhluk halus.

Bapa Amir iaitu Datuk Hafsyam mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat pakar ruqyah bernama Tok Haji.

Namun, Amir dan Anna tidak mempercayai Tok Haji dan menasihat bapanya untuk tidak lagi menggunakan khidmat lelaki terbabit.

Anna berasakan Tok Haji sebenarnya adalah bomoh yang bertopengkan agama, manakala Hafsyam pula berasa isterinya disantau ahli keluarga sendiri.



Teki-teki bermula dalam plot penceritaan untuk mencari siapa penunggang agama yang sebenar. Pada masa sama, isteri dan anak perempuan Amir diganggu makhluk halus termasuk dirasuk.

Tidak mengambil masa lama untuk menyatakan persetujuan, Zul berkata, sebaik menerima panggilan daripada Shafiq dia terus bersetuju membintangi filem terbabit.

“Saya buat untuk Shafiq sebab dia tahu kelemahan saya dari segi kebimbangan. Bersama Shafiq kami ada ruang untuk buat perbincangan dengan pengarah dan produksi.

“Saya tak boleh main rembat setiap tawaran. Saya tidak mahu lagi sekadar buat. Saya tak nak orang tulis skrip pun main-main. Tapi dengan Shafiq, saya yakin dengan hasil kerja dia kerana kami pernah bekerja bersama sebelum ini.



“Saya tahu skrip dia macam mana. Saya tahu dia sudah mendapatkan nasihat terhadap setiap apa yang ingin dibuat. Tambahan pula, tajuk filem ini adalah mengenai Penunggang Agama, jadi tidak boleh dibuat sesuka hati,” katanya.

Menurut Zul, dia mengakui kerap menerima tawaran untuk memegang watak sama seperti Amir dalam Penunggang Agama.

Bagaimanapun, dia menolak kerana tidak boleh menerima tawaran lakonan sesuka hati atau tangkap muat.

“Watak keagamaan ini banyak sebenarnya saya dapat untuk drama setiap tahun. Apabila saya dengar terus saya tolak, tak payah jelaskan apa-apa.



“Sebenarnya susah nak buat cerita macam ini. Kita tak boleh suka-suka nak buat. Kalau salah sebut mana-mana ayat sudah tentu saya dikecam teruk. Jadi, lebih baik saya tolak secara baik,” katanya.

Mengakui tidak suka menonton filem genre seram, namun Zul gemar bekerja untuk naskhah seram kerana memberi banyak kelebihan kepada dirinya.

“Saya bukan tak suka tonton cerita hantu, tapi saya ini seorang yang penakut, tapi kalau kerja saya suka buat karya seram seperti Penunggang Agama.

“Bukan apa, apabila buat penggambaran filem seram, selalunya penggambaran dibuat pada waktu malam selain tidak perlu berjemur tengah panas. Malah, pelakon yang terbabit pun tak ramai sangat,” katanya.



Filem Penunggang Agama kini boleh ditonton meneruis saluran Astro First. Selain itu, ia juga boleh ditonton di Astro Go atau On Demand. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker