‘Sudah sampai masa MIC beri laluan pada Umno di Sg Siput’
Ketua Pergerakan Puteri Umno Sungai Siput Norazura Abdul Karim berkata sudah sampai masanya MIC memberi laluan kepada partinya untuk bertanding di kerusi kawasan parlimen mereka.
Norazura berkata demikian susulan kegagalan MIC untuk merampas kerusi Sungai Siput di Perak yang pernah dianggap kubu kuat MIC bagi tiga pilihan raya umum (PRU) berturut-turut.
Kerusi Sungai Siput pernah disandang bekas presiden MIC VT Sambanthan dari 1959 hingga 1974 dan S Samy Vellu dari 1974 hingga 2008. Bagaimanapun calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj berhasil merampas kerusi tersebut setelah bertanding di bawah tiket PKR.
Selepas itu, Kesavan Subramaniam dari PKR pula memenangi kerusi tersebut pada 2018 setelah Jeyakumar memutuskan untuk bertanding di bawah logo PSM.
“Sejak PRU pertama, Sungai Siput diwakili oleh MIC dalam setiap pilihan raya. Bermula dengan Sambanthan dan yang terakhir S Samy Vellu pada tahun 2008. Sehingga kini, setelah tiga penggal PRU, Sungai Siput masih lagi tidak mampu dimenangi oleh MIC.
“Dengan jumlah pengundi India yang hanya kira-kira 11,800 orang atau hingga 12,000 orang pengundi, MIC dilihat tidak mampu lagi mengembalikan kerusi Parlimen Sungai Siput kepada BN.
“Maka, Puteri Umno bahagian Sungai Siput merasakan sudah sampai masanya BN menyerahkan kerusi Sungai Siput kepada Umno,” kata Norazura di Facebook hari ini.
UMNO Tolak PPBM: DAP & PKR Yang Untung? – Puad Zarkashi
Pada tahun 2018, Kesavan memenangi kerusi parlimen itu dengan jumlah undian 20,817 – majoriti 5,607 – berbanding calon MIC S Devamany yang hanya meraih 15,210 undi.
Calon PAS, Ishak Ibrahim pula di tangga ketiga dengan 5,194 undi dan Jeyakumar pula meraih hanya 1,505 undi menyebabkan dia kehilangan deposit.
Sementara itu, Norazura juga berpendapat, BN tidak seharusnya bermain dengan kuota kerana ia dilihat tidak mampu mengembalikan kerusi Sungai Siput.
“Tidak perlu bermain dengan kuota kerana selama tiga penggal, kuota ini tidak mampu mengembalikan Sungai Siput kepada BN.
“Seharusnya kerusi Sungai Siput diberi kepada parti yang mampu memenanginya semula,” katanya lagi.
You must be logged in to post a comment.