Kalau Umno solo, PAS yang jadi kambing hitam

Sebaran :


Pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti, Umno bersama BN yang diketuainya akan bergerak solo, seperti pengumuman presiden Umno merangkap pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 Ahad lalu.

Sekiranya PAS kekal bersama Perikatan Nasional (PN), ia juga berkemungkinan bermaksud Umno-BN tidak akan bersama PAS – sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN).

Namun, dalam ucapan dasar presiden yang sama, kata Ahmad Zahid, “belum terlambat” untuk PAS kembali ke pangkal jalan.

Beberapa tokoh Umno juga membuat kenyataan bahawa keputusan akhir berhubung kerjasama dua parti itu kini terletak di tangan PAS.

Justeru, persoalan yang diharapkan ternoktah pada PAU kelmarin, akhirnya terus kekal menjadi persoalan: Apakah kedudukan yang akan diambil PAS dalam PRU-15 nanti?

Bagi penganalisis politik Jamaie Hamil, sekiranya akhirnya Umno-BN benar-benar melangkah ke medan PRU-15 secara solo tanpa PAS, maka yang sebenarnya akan menjadi korban adalah PAS.

Katanya, sejak dahulu sebelum PRU-14, Umno dan PAS mempunyai satu hubungan yang unik. Kewujudan PAS dalam politik Malaysia menjadi kekuatan buat Umno – sebagai parti musuh yang menurutnya selalu dikambinghitamkan Umno.

“Ketika Umno menjadi kerajaan dahulu, PAS adalah musuh utama Umno. Banyak isu yang berlaku dalam negara, Umno akan mengkambinghitam, atau meletakkan kesalahan itu kepada PAS.

“Maksudnya, dengan adanya PAS, Umno akan dipandang oleh pengundi-pengundi sebagai (parti yang) lebih lembut, moderat, boleh bekerjasama atau pun lebih sederhana sifatnya.

“[…] Jadi sebab itulah Umno perlukan PAS itu sebagai musuh sebenarnya. Bukan sebagai kawan,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Kerjasama dalam MN pula, katanya, hanyalah kerjasama ketika kedua-dua parti menjadi pembangkang, sementalah Umno yang kehilangan sokongan orang Melayu dalam PRU-14, bekerjasama dengan PAS untuk kembali meraih sokongan tersebut.

Umno lebih banyak dapat manfaat

Malah, tambahnya, isu Islam-Melayu yang sering dibangkitkan MN semasa pemerintahan PH juga sebenarnya banyak memberi manfaat kepada Umno berbanding PAS, dalam aspek menarik sokongan orang Melayu.

“Sebab kerusi-kerusi yang kalah kepada PKR terutamanya, terutama di kawasan-kawasan luar bandar, kerusi-kerusi itu bukan kerusi PAS. Kebanyakan kerusi yang kalah (kepada PH) itu adalah kerusi Umno.

“Jadi secara tak langsung, apabila sentimen Melayu itu kembali kepada MN, sebenarnya (sokongan) kembali kepada Umno, bukan kembali kepada PAS,” kata pensyarah kanan Program Sains Politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Dengan bergerak solo, kata Jamaie, Umno mempunyai kelebihan, terutamanya daripada segi agihan kerusi.

Umno akan dapat mengelak konflik di kerusi yang diminati kedua-dua parti, contohnya kerusi Bukit Gantang yang dimenangi Umno dalam PRU-14 lalu (kini milik Bersatu), tetapi pernah juga dimenangi PAS beberapa kali sebelum itu.

Malah, Jamaie turut meramalkan Umno mampu menarik semula sokongan orang Melayu dalam PRU-15.

Ramalannya itu disandarkan pada trend PRU-PRU lepas. Menurutnya, trend sokongan Umno memang menunjukkan “pasang-surut”, iaitu setiap kali parti itu berdepan prestasi kurang baik dalam satu-satu PRU, ia selalunya disusuli dengan sokongan yang kembali meningkat dalam PRU selepas itu.

Dalam PRU-14, PAS hanya menang 18 kerusi daripada 158 kerusi parlimen yang ditandinginya.

Umno pula memenangi 54 daripada 121 kerusi yang ditandinginya (BN secara keseluruhan menang 79 kerusi), menjadikannya parti tunggal yang memenangi kerusi terbanyak dalam PRU-14.

Pun begitu, Umno hilang banyak kerusi setelah berlaku adegan lompat parti, dengan 15 daripada kerusinya bertukar tangan kepada parti serpihannya sendiri, Bersatu. Umno kini tinggal 35 kerusi parlimen.

PAS perlu ubah strategi

Jika dalam PRU-14 lalu ketiga-tiga parti Melayu ini – Umno, PAS dan Bersatu – bersaing sesama sendiri, tahun lalu, mereka berganding bahu sehingga berjaya menumbangkan PH dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Namun, hubungan Umno dengan Bersatu tegang sejak awal kerjasama.

Kemuncaknya, kelmarin, Ahmad Zahid bukan saja berkata BN akan bertanding solo pada PRU-14 nanti, bahkan menegaskan tidak akan ada kerjasama antara Umno dengan DAP, Presiden PKR Anwar Ibrahim mahupun Bersatu.

Pun begitu, PAS setakat ini, masih tetap dengan pendirian untuk mempertahankan “perpaduan ummah” seperti pendirian mereka selama ini, iaitu tidak meninggalkan Bersatu mahupun Umno.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Prof Azmi Hassan, sekiranya PAS masih menaruh harapan untuk melihat kesatuan ketiga-tiga parti itu, PAS harus mengubah strateginya.

“PAS mesti keluar dari PN,” usulnya kepada Malaysiakini semalam.

“Strateginya adalah untuk memberi tekanan kepada Bersatu. Kerana Bersatu-PN tanpa PAS, sukar untuk pergi ke hadapan. Dengan cara ini, saya menjangkakan PN itu sendiri akan lebih mesra kepada MN yang disertai PAS-Umno,” katanya lagi.

Dengan cara itu, kata Awang Azman, barulah persefahaman akan dapat diwujudkan antara Bersatu, Umno dan PAS.

”Strategi PAS selama ini untuk kekal dalam PN tetapi mesra dengan MN tidak menjadi kerana Bersatu dan Umno tetap akan berkeras, jadi PAS kena tukar sikit strategi kalau mereka ingin lihat ketiga-tiga entiti ini membuat persefahaman menjelang PRU-15,” katanya.

Jelasnya, dengan keluar daripada PN, PAS sebenarnya tidak perlu berkorban apa-apa, malah dengan cara itu, ia akan dapat bersama Umno dan hal itu akhirnya akan memberi lebih manfaat kepada PAS sendiri.

Manfaat yang dimaksudkannya ialah daripada segi pembahagian kerusi dengan Umno.

“Ini kerana apabila PAS bersama dengan Umno, bermakna pembahagian kerusi dapat dibincang. Kerana musuh sebenar PAS dalam politik adalah Umno, bukan Bersatu,” katanya lagi. Mk


Sebaran :

Leave a Reply