Jualan tong air meningkat empat kali ganda

Sebaran :

 

SHAH ALAM – Permintaan tong air di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30 di sini meningkat selepas pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengumumkan gangguan bekalan air di Selangor bermula Selasa.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa kedai menjual barangan plastik dan logam di sekitar kawasan tersebut mendapati bilangan tong air yang dipapar di premis berkurangan secara drastik.

Antara jenis tong air yang paling mendapat sambutan dalam kalangan pembeli ialah tong plastik yang mampu menampung sebanyak 120 liter air.

Pemilik sebuah kedai menjual barangan plastik yang ingin dikenali sebagai Luezita berkata, ramai pelanggan datang ke kedainya sejak dua hari lalu untuk mendapatkan tong air bagi menghadapi gangguan bekalan air pada Selasa.



Menurutnya, hasil jualan tong air meningkat sehingga empat kali ganda daripada hari biasa, dengan purata jumlah tong terjual sebanyak 20 hingga 30 tong air sehari.

“Pelanggan datang ke kedai ini membawa bajet tertentu mengikut material yang dimahukan.

“Harga tong air yang saya jual bermula daripada bawah RM50 sehingga RM140, bergantung kepada saiz dan jenis material tong,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Bagi pekerja di kedai barangan logam yang ingin dikenali sebagai Ainon, tong air menjadi satu kewajipan bagi penduduk sekitar sini kerana mereka sering mengalami masalah gangguan air.



Ujarnya, pelanggan akan membeli tong air mengikut ruang penyimpanan air yang mereka mahu letakkan tong tersebut.

“Dari segi saiz tong air, pelanggan pilih mengikut keluasan ruang rumah. Jika ruangnya kecil, mereka akan pilih tong yang sempit tapi tinggi dan jika ruang rumah luas, mereka pilih tong yang lebar dan rendah.

“Saya akan bertanya kepada pelanggan jika mereka menyimpan air di luar atau dalam rumah kerana jika tong itu dibiarkan di luar rumah, saya akan menasihatkan mereka mendapatkan tong yang lebih tebal dan berpenutup kerana ia tahan lebih lama,” katanya.


Sebaran :

Leave a Reply