Menteri Umno tak berani letak jawatan, pengecut, tak setia, kata Nazri


Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Nazri Aziz menyifatkan menteri Umno yang tidak berani meletak jawatan sebagai pengecut dan dianggap tidak setia kepada parti dan suara akar umbi.

Pendapat Ahli Parlimen Padang Rengas itu senada dengan amaran seorang pemimpin tertinggi PPBM terhadap menteri Umno yang mengertak atau mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya sokong sepenuhnya seruan Rosol Wahid (Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM) supaya menteri, timbalan Umno letak jawatan tanpa letak syarat.

“Kenapa nak cakap kalau disuruh baru nak berhenti? Berhenti sahaja tanpa syarat, tidak susah. Kena dengar suara akar umbi,” kata Nazri kepada FMT.

Terdahulu, media melaporkan Rosol mencabar Umno menarik balik sokongan terhadap Per­ikatan Nasional (PN) tanpa meletakkan apa apa syarat.

“Sekarang bukan zaman ugut, seperti yang Tok Mat (Datuk Mohamad Hassan) kata, bukan main silat pulut, kita main boh terus, nak tumbuk, tumbuk jer la, tidak perlu main acah-acah sahaja.

“Ini tidak, ada syarat itu, syarat ini, hendak tarik (sokongan), tarik lah, bukan main gertak sahaja,” kata beliau.

Dalam pada itu, Nazri mengingatkan menteri Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional supaya mempertahankan maruah diri.

Kata beliau, menteri dan timbalan menteri Umno perlu memutuskan sama ada mereka mahu kekal dengan Umno atau bersama PPBM.

“Kalau (mereka) letak jawatan sekarang, tak jejaskan kerajaan sebab darurat.

“Kalau teragak-agak, kita tak setia pada parti dan tiada harga diri. Jangan label diri pejuang kalau tidak berani,” kata beliau.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii berkata, isu menteri dan timbalan menteri perlu letak jawatan adalah hanya untuk kepentingan rakyat, sebagaimana tujuan kerajaan PN diwujudkan.

“Tidak payah nak bising-bising. Tiba sahaja pembubaran Parlimen, Covid-19 selesai, sudah tentu akan kembalikan mandat pada rakyat.

“Kerajaan dibentuk masa ini adalah kerajaan sementara. Bila tempoh bertenang dah selesai, perlu pulangkan mandat pada rakyat supaya rakyat memilih,” kata beliau.

Ahad lalu, Umno dalam perhimpunan agungnya di Kuala Lumpur, memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan PPBM dan bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata partinya tidak akan mendukung PN kerana PPBM berniat menghapus dan menggantikan Umno. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker