Boikot jenama fesyen terkenal kerana isu ‘kapas’, apa sebenarnya yang terjadi di China?


KERANA menyatakan kebimbangan berkenaan penggunaan buruh paksa dalam industri kapas di Xinjiang, jenama-jenama fesyen terkemuka seperti H&M dan Nike berdepan boikot dalam kalangan rakyat China.

Namun, isu ini terus berlanjutan sehingga kini, malah semakin parah.

Bukan hanya H&M dan Nike sahaja yang terkena tempias. Malah, boikot di negara tembok besar itu turut melibatkan jenama-jenama terkenal seperti Burberry, Adidas, New Balance, Puma dan Tommy Hilfiger.

Menurut laporan New York Times, kerajaan China menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dari negara barat yang menyatakan mereka menggunakan buruh paksa dari kalangan ratusan ribu etnik Uighur serta etnik minoriti lain dalam pengeluaran kapas di Xinjiang.

China mengatakan mereka tidak menggunakan buruh paksa, sebaliknya tenaga kerja industri kapas di Xinjiang bekerja atas kehendak sendiri dan mengikuti program latihan untuk meningkatkan pendapatan.

Tidak hanya terhenti di situ, kemarahan kerajaan China juga semakin membara apabila negara-negara Barat mula mengenakan sekatan terhadap pegawai kerajaan China khasnya dari Xinjiang.

Sebagai tindakan balas, China melakukan boikot seperti posting di media sosial yang mendedahkan bahawa barat mengeluarkan sentimen buruh paksa, tetapi dalam masa sama, mahu mengaut keuntungan dari China.

Beberapa selebriti terkemuka negara itu turut menamatkan kerjasama dengan jenama-jenama terkenal dari barat seperti Wang Zibo dan Zhang Yixing. Bukan sebagai tindakan balas, sebaliknya menyuarakan kekhuatiran sekiranya penggunaan buruh paksa di Xinjiang benar-benar berlaku.

Malah menurut laporan media tempatan, jenama-jenama fesyen dari barat dikatakan hampir lenyap dalam platform e-dagang popular di China seperti Alibaba Group’s Tmall dan JD.com. Ini termasuk pelbagai aplikasi e-hailing negara itu.

Isu ‘kapas’ dilihat semakin memuncak kerana turut mencetuskan hubungan dingin China dan negara-negara barat. Antara negara yang lantang bersuara mempersoalkan China dalam penggunaan buruh paksa adalah Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Xinjiang adalah antara lima lokasi pengeluaran kapas terbesar di dunia.

Isu penggunaan buruh paksa itu didedahkan dalam satu laporan BBC sebelum ini. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker