Sindiket tumpas, syabu cukup untuk 4.9 juta penagih dirampas di Kajang
SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah melalui rampasan syabu seberat 983kg yang berjumlah lebih RM35 juta di Kajang.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, berkata tiga suspek berumur 37 hingga 42 tahun turut ditahan dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di sebuah rumah pada 17 Mac.
“Sejumlah 26 guni plastik yang mengandungi 650 bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu dengan anggaran 673.2kg ditemui. Pemeriksaan ke atas sebuah lori di hadapan rumah tersebut menjumpai 12 guni plastik di dalamnya yang terdapat 299 bungkusan plastik lagi.
“Jumlah dadah ini boleh digunakan 4,915,000 penagih dadah. Sindiket ini mula aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak Januari lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan tiga suspek yang didapati positif dadah itu direman enam hari hingga esok.
Sementara itu, Hamid berkata, JSJN menahan 19,352 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 70,193.73kg pelbagai jenis dadah serta 9,752.46 liter cecair dadah sejak Jan dan Feb lalu.
“Keseluruhan dadah yang dirampas bagi tempoh ini bernilai RM245.22 juta. Sehingga Februari, 56 sindiket berjaya ditumpaskan, di mana 217 orang yang terlibat berjaya diberkas JSJN di seluruh negara.” FMT
Resort jadi markas operasi syabu ditumpaskan PDRM, nilai rampasan 1 juta ringgit