Terpulang kepada menteri – Ketua Polis Negara


SHAH ALAM: Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) bebas untuk menyiasat dakwaan salah laku pegawai muda yang mewujudkan kartel untuk menguasai jawatan penting dan menjatuhkan pegawai atasan mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid, berkata pendedahan beliau sebelum ini sekadar mahu membuka mata pegawai lain kerana percaturan kartel muda itu masih dalam kawalannya.

Katanya, beliau juga tidak akan membuat laporan kepada SPP, sebaliknya akan bersemuka dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk memberi penjelasan lanjut.

“Tidak perlu (laporan) tapi terpulang kepada menteri sama ada perkara itu untuk diangkat kepada SPP atau tidak.



“Ada yang suruh buat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Sebenarnya saya tegaskan (perkara) masih dalam keadaan terkawal.

“Saya hanya menguar-uarkan perkara ini dengan harapan semua pihak dan pegawai lain mengambil iktibar daripadanya,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini.

Abdul Hamid berkata, beliau akan bertemu Hamzah tidak lama lagi untuk menjelaskan perkara terbabit secara terperinci.



“Sekarang beliau di Sabah. Saya akan ambil kesempatan untuk berjumpa beliau untuk bercerita dan mengesahkannya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kartel itu, katanya, pendedahan yang dibuat tanggungjawab beliau sebagai Ketua Polis Negara kerana tidak mahu budaya ‘the blue code of silent’ di Amerika Syarikat bersarang dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya tidak mahu lagi ada keadaan uniform biru ini digunakan untuk mengugut orang. Seperti ‘the blue code of silence’ di AS. Kalau polis sama polis melakukan kesalahan, tutup bawah karpet.

“Saya tidak mahu itu semua. Saya sudah berikan perakuan kepada menteri bahawa, saya akan bawa perkara ini dalam pertemuan dengan beliau tidak lama lagi.



“Mungkin beliau (menteri) tidak tahu tentang perkara ini. Saya buat pendedahan ini. Saya yakin kegiatan dilakukan pegawai tidak bertanggungjawab ini dapat ditangani. Sebab itu saya bawa ke atas.

“Kepada yang kritik saya, saya minta muhasabah diri, khususnya kepada yang sudah bersara. Yang masih lagi ingin menggunakan kedudukan dan kuasa dia sebagai pegawai dulu. Meminta itu dan ini dari pegawai. Apabila tidak dilayan, kecewa. Mula cari salah sana sini,” katanya.

Beliau berkata, PDRM bukan miliknya tetapi kepunyaan negara namun beliau akan memimpin ke jalan yang betul.

“Saya hendak perbetulkan budaya yang tidak baik ini. Dan, saya minta pegawai saya hentikan rantaian budaya yang mengambil duit dari bawah, bawa ke atas untuk saya. Sampai pegawai bawah pun takut nak ambil tindakan kerana IGP nak. Ini berlaku dulu.



“Ini saya nak hapuskan. Saya cabar mereka apa salah dengan perbuatan saya? Saya hanya mahu rakyat dapat hak mereka dengan perkhidmatan terbaik,” katanya. BH

Putrajaya lakukan dua perkara tidak ikut perlembagaan – TMJ



Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker