‘Datuk Seri’ mengaku tak salah cabul anak perempuan, cakap lucah

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk Seri” meminta dibicarakan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas didakwa mencabul anak perempuannya dengan menggunakan kekerasan jenayah.

Ahli perniagaan itu berdepan dua tuduhan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana didakwa menggunaan kekerasan jenayah ke atas seseorang dengan niat mencabul kehormatan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Sentul antara 16 Julai tahun lepas dan 9 Jan tahun ini.

Jika sabit kesalahan mencabul kehormatan, dia berdepan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau rotan atau mana-mana dua hukuman itu.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 509 akta sama kerana mencabul kehormatan anak perempuannya.

Lelaki berusia 49 tahun itu turut didakwa mengucapkan kata-kata lucah terhadap anaknya di lokasi sama pada 17 Julai tahun lepas.

Dia berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya Mohd Josienda Abu Senin menawarkan ikat jamin RM100,000 kepada tertuduh.

“Kami meminta mahkamah menahan pasportnya sehingga perbicaraan selesai dan memberi amaran supaya tidak mengganggu mana-mana saksi,” katanya.

Peguam tertuduh M Puravalen memberitahu mahkamah bahawa kebimbangan pihak pendakwaan berhubung gangguan terhadap saksi tidak wujud kerana anak perempuan ahli perniagaan itu dan adik-beradiknya tidak lagi tinggal bersama lelaki itu.

Beliau berkata, kliennya memberi kerjasama penuh kepada polis semasa siasatan dan dilepaskan dengan jaminan polis.

Majistret Wong Chai Sia menetapkan ikat jamin RM25,000 bagi ketiga-tiga tuduhan dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 27 April depan untuk sebutan semula kes.

“Tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi,” katanya.

Peguam Wong Hong Yi membantu Puravelan, sementara timbalan pendakwa raya Md Azhari Abu Hanit membantu Josiendra.

Peguam K Ganesh merupakan peguam pemerhati bagi pihak anak perempuan lelaki berkenaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker