Terlepas tali gantung, Dr. 'Ganja' kini mendalami agama — MYKMU.NET

Terlepas tali gantung, Dr. ‘Ganja’ kini mendalami agama



Sebaran :

Ketika ‘Doktor Ganja’ Muhammad Lukman Mohamad menjalani pemenjaraan, kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan moratorium penangguhan hukuman mati sementara mengkaji penghapusan hukuman mati sepenuhnya atau sebahagiannya.

“Saya sangat risau dengan hukuman mati. Tetapi saya masih mempunyai harapan. Saya berharap yang terbaik untuk saya.

“Saya berharap yang terbaik supaya undang-undang mengenai ganja dapat direformasikan.



“Amat buruk jika mereka terus menjatuhkan hukuman mati kerana memiliki ganja,” katanya kepada Malaysiakini pada wawancara pada Rabu lalu.

Lukman menceritakan nasib seorang banduan lain yang telah menghabiskan 32 tahun terakhirnya di penjara kerana memiliki sekitar tiga kilogram ganja.

“Kita perlu mengubah undang-undang.”



 

Bagi banduan menunggu hukuman mati, katanya ada satu sel untuk setiap orang tetapi ketika dalam tahanan reman, sebuah bilik dengan ukuran yang sama menempatkan lapan atau 10 atau lebih tahanan.

“Ini menjadikannya sangat sukar untuk makan atau tidur dan anda harus menyesuaikan diri dengan ruang sempit,” katanya.

Pada 2018, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman mati terhadap Lukman yang mana kesnya mendapat perhatian meluas.

 



Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar ketika itu berkata akan menulis rayuan kepada Peguam Negara bagi mendapatkan pengampunan berdasarkan merit kes Lukman itu.

Nurul berhujah, ganja semakin diterima di banyak negara sebagai tumbuhan yang mempunyai banyak faedah, terutamanya dalam rawatan pelbagai penyakit kronik.

Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri pada 18 September 2018 pula berpendapat kerajaan patut menyemak semula kes Lukman.

Menteri kesihatan era PH, Dr Dzulkefly Ahmad pula telah memperkenalkan dasar pengurangan mudarat dasar dadah, antaranya merawat penagih dadah sebagai pesakit serta tidak melayan mereka sebagai penjenayah berat dan menyokong kajian untuk ganja perubatan.



PH tak sempat pinda undang-undang dadah

Sementara itu, menteri undang-undang waktu itu, mendiang Liew Vui Keong turut mendokong kajian semula undang-undang dadah, khususnya hukuman mati.

Sebelum pentadbiran PH runtuh, Mahathir pada 18 Februari 2020 berkata kerajaan akan menilai dan mengkaji semula dasar serta undang-undang berkaitan dadah di negara ini, termasuk hukuman mati mandatori yang dilihat terlalu keras.



Katanya, mereka yang menjadi penagih dadah akan dirawat sebagai pesakit memandangkan trend penyalahgunaan dadah kini sudah berubah daripada dadah konvensional berasaskan tumbuhan seperti ganja, morfin dan heroin kepada jenis sintetik yang lebih memudaratkan.

 

Bagaimanapun, Akta Dadah Berbayaha 1952 tidak sempat dipinda pentadbiran PH dan itu menambah khuatir Lukman.

“Walaupun ada moratorium ini, jika kamu sedang menunggu hukuman mati, kemungkinan dibebaskan sangat rendah,” kata Lukman.

“Peluangnya sangat tipis, tetapi saya berserah kepada Allah memutuskan takdir hayat saya. Saya tidak pernah tahu bahawa saya akan dibebaskan pada hari itu,” kata Lukman.

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 17 Feb membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan atas dua tuduhan mengedar dadah.

Sidang tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bagaimanapun, menggantikan tuduhan Muhammad Lukman Mohamad kerana memiliki dadah di bawah Seksyen 9 Akta Dadah Berbahaya (DDA).

Mahkamah mendapati Muhammad Lukman, 31, bersalah kerana memiliki dadah dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun untuk setiap pertuduhan yang akan dijalankan serentak dari 7 Disember 2015, tarikh penangkapannya.

Saksi mengaku hisap ganja sebelum kebakaran

Hakim Tengku Maimun yang mengetuai hakim Mahkamah Persekutuan  Mohd Zawawi Salleh dan Harmindar Singh Dhaliwal mendengar rayuan Muhammad Lukman berhubung sabitan dan hukuman mati atas tuduhan pertama dan kedua.

Kata Lukman, doa keluarganya dan kegembiraan berita pembebasannya, membuatkan dia dapat menanggung kesakitan akibat hukuman sebatan rotan.

Lukman berkata semasa di penjara, dia telah bercerai dengan isterinya, namun rindu kepada anaknya terubat setelah dapat bertemu susulan pembebasannya.

“Saya sangat berterima kasih kepada pihak berkuasa penjara yang menjaga kebajikan saya semasa saya berada di sana. Dan keluarga, rakan dan penyokong saya yang membantu saya dan mendoakan saya serta menyokong saya selama ini.

“Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada peguam saya Hisyam Teh (gambar, atas) dan pasukannya, dan juga peguam Farhan Maarof yang membela saya sejak kes di Mahkamah Tinggi.

“Nasihat saya dengan rendah hati kepada orang ramai, bahawa walaupun kita mempercayai manfaat ganja perubatan, kita tidak boleh semudahnya melakukan apa yang kita inginkan dan melanggar undang-undang,” kata Lukman.

Buat masa ini, Lukman berkata dia ingin mendalami pengajian Islam.

“Itulah yang saya nak buat dan itulah yang ibu saya mahukan juga.

“Nanti, saya ingin mendapatkan tauliah untuk kajian ilmiah dan advokasi untuk ganja perubatan,” katanya.

Jelas Lukman, dia masih yakin perlu ada usaha untuk menghalalkan ganja perubatan dan memperkenalkan hukuman dadah yang kurang keras di Malaysia.

Lukman juga meminta rakyat Malaysia berfikiran terbuka dan positif dalam hidup.

Sokongan kepada ‘Doktor Ganja’

Lukman bukan satu-satunya kes individu yang mendakwa menggunakan ganja atas tujuan perubatan.

Satu lagi kes ‘Doktor Ganja’ melibatkan kapten tentera bersara, Amiruddin @ Nadajaran Abdullah yang masih menghadapi hukuman mati.

Amiruddin (gambar, bawah) telah ditahan, pertama kali didakwa pada Mei 2017. Dia menghadapi 33 tuduhan bawah Akta Dadah Berbahaya setelah polis dilaporkan menemui sejumlah besar ganja di rumahnya di Kampung Delek Dalam, Klang.

 

 

Amiruddin sedang berjuang melawan penyakit barah semasa dalam tahanan dan hanya memiliki satu buah pinggang yang berfungsi.

Kesnya masih berjalan dan Mahkamah Tinggi akan menetapkan tarikh perbicaraan baru.

Pada 22 Feb, sekumpulan aktivis proganja perubatan yang menggelarkan diri mereka Bani Tenang berhimpun di Dataran Merdeka mendesak kerajaan memansuhkan hukuman mati dan membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan manfaat kesihatan.

Mereka juga mendesak pembebasan individu yang dijatuhi hukuman mati kerana menggunakan ganja bagi tujuan perubatan.

Jurucakap kumpulan berkenaan, blogger Yob Tualang Sekah atau Mat Yob (gambar, bawah) berkata mereka merayu kerajaan meminda Akta Dadah Berbahaya.

 

Mereka juga menggesa kerajaan memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan memiliki dan menggunakan ganja bagi tujuan perubatan.

“Kami ini NGO tidak berdaftar kerana kerajaan tidak benarkan kami guna perkataan kanabis, kami kadang-kadang bersolidariti di mana saja.

“Kami hadir hari ini dengan satu misi untuk kenangkan saudara kami Lukman yang sedang dipenjara dan dijatuhkan hukuman sampai mati dan kes sedang dibicarakan.

“Saya percaya tiada siapa yang patut digantung kerana memiliki tumbuh-tumbuhan,” kata Mat Yob.

Perjuangan reformasi undang-undang dadah masih berterusan, meskipun dua penyokong kuat agenda ini, VK Liew dan penyokong dekriminalisasi ganja perubatan bekas pengerusi Persatuan Kesedaran Rakyat Malaysia (Masa) Yuuki Setsuna telah meninggal dunia.

Sementara itu, penyokong pembaharuan dasar dadah yang juga peguam, Samantha Chong memberitahu Malaysiakini takrifan ganja dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 masih terlalu umum.

Katanya ia turut merangkumi sebatian kimia yang tidak ada kesan ketagihan tetapi banyak digunakan untuk pengurusan kesakitan kronik dan epilepsi di negara lain.

“Di Malaysia, pemilikan lebih dari 200 gram ganja mengandaikannya sebagai pengedaran dadah dan berdepan hukuman mati. Kita perlu mengikuti sains dan mengkaji undang-undang kita dengan sewajarnya.

“Bahkan Badan Kawalan Narkotik Antarabangsa, yang merupakan badan bebas yang memantau kepatuhan terhadap konvensi kawalan dadah antarabangsa telah mengulangi seruannya untuk penghapusan hukuman mati atas kesalahan yang berkaitan dengan dadah.

“Ini kerana hukuman itu tidak setanding dengan jenayah tersebut,” katanya.

Gambar fail, peguam Samantha Chong.

 

“Ketagihan dadah adalah masalah yang rumit dan hukuman mati bukanlah satu-satunya jalan keluar.

“Perang terhadap dadah telah gagal dan kita tidak harus mengulangi kesalahan yang sama,” tambah Chong.

Pengerusi Suruhanjaya Polisi Dadah Global, Ruth Dreifuss pada Feb lalu ketika diminta mengulas kes Lukman dan Amiruddin menyatakan kekesalan hukuman mati dikenakan terhadap orang yang mendakwa menggunakan ganja bagi tujuan perubatan.

Untuk rekod, Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2 Disember tahun lalu telah mengklasifikasikan semula ganja sebagai “dadah yang kurang berbahaya” selepas cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sidang CND ke-63 di Vienna, Austria bersetuju menerima usul untuk menggugurkan ganja dan resin ganja daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).

“Dalam mengkaji banyak cadangan daripada WHO mengenai ganja dan resinnya, CND memutuskan untuk mengugurkan ganja daripada Jadual Keempat Konvensyen Tunggal tahun 1961 mengenai Narkotik – iaitu ganja telah disenaraikan bersama dadah opioid yang boleh mematikan dan menyebabkan ketagihan, termasuk heroin.

“53 negara anggota CND memilih untuk membuang ganja yang selama 59 tahun dikawal secara ketat, bahkan sampai ke tahap tidak menggalakkan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan,” kata Suruhanjaya Dadah Narkotik PBB.

Bagaimanapun, keputusan suruhanjaya PBB ini tidak akan mengubah status kawalan kanabis atau ganja dan semua bahan-bahan berkaitannya di Malaysia.

Mengulas keputusan PBB, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin memaklumkan ganja kekal dikawal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Undang-undang negara memperuntukkan hukuman mati dikenakan terhadap orang yang memiliki lebih 200 gram kanabis, termasuklah individu yang mendakwa menggunakan ganja bagi tujuan perubatan. MK

 

Pemimpin Armada ditangkap miliki ganja dalam jumlah besar


Sebaran :


Leave a Reply