Pemburuan haram: Pegawai, anggota polis antara 14 ditahan


KALABAKAN – Empat pegawai dan anggota polis adalah antara 14 lelaki yang ditahan dalam satu serbuan berkaitan pemburuan haram di Kem Pembalakan Vivadaya, kawasan Hutan Simpan Sapulut yang merupakan Hutan Komersil Kelas II di sini, Ahad lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata serbuan dilaksanakan pasukan khas daripada Jabatan Perhutanan Sabah iaitu SFD Protect, disertai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Hidupan Liar Team Danum Maliau Imbak pada 12.44 tengah hari.

Katanya beberapa laras senjata api, sejumlah bangkai rusa dan babi yang telah dipotong kepada beberapa bahagian dipercayai hasil pemburuan haram, serta lima kenderaan pacuan empat roda dirampas dalam serbuan itu.

“Kes itu disiasat oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, dibantu Jabatan Perhutanan Sabah serta polis. Kesemua suspek kini dibebaskan dengan jaminan polis atas permintaan JHL setelah diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berhubung pembabitan polis dalam kegiatan pemburuan haram itu, Hazani berkata siasatan secara telus akan dijalankan pihaknya terhadap pegawai serta anggota yang terlibat.

“Buat masa ini polis masih menunggu laporan penuh siasatan oleh JHL Sabah, justeru ditegaskan tiada sebarang campur tangan oleh pihak polis,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar berhenti menyebarkan berita palsu termasuk spekulasi yang boleh mencemarkan nama baik polis kontinjen Sabah dan tindakan tegas boleh diambil mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Fitnah Jenayah) serta Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
BERNAMA

Sultan Ibrahim murka pemburuan haram di Johor

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker