Sultan Ibrahim murka pemburuan haram di Johor

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka terhadap aktiviti pemburuan haram di beberapa kawasan hutan di sekitar negeri ini.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, baginda sudah beberapa kali membangkitkan isu pemburuan haram dan berasa kecewa kerana tiada sebarang tindakan dilakukan.

Sultan Ibrahim turut bertitah, baginda ada menerima maklumat berserta beberapa gambar mengenai satu aktiviti pemburuan haram berskala besar yang dilakukan malam kelmarin.

“Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Saya mahu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ( Perhilitan) serta polis segera menjalankan siasatan dan sediakan satu laporan penuh berhubung kejadian malam tadi (kelmarin).

“Kesemua pemburu ini juga dipercayai memiliki senjata berupa senapang patah buatan sendiri,” titah baginda dalam muat naik berkenaan.

Baginda seterusnya mahukan dalang di sebalik kegiatan pemburuan haram itu serta mereka yang terlibat diheret ke muka pengadilan.

“Berdasarkan maklumat awal, antara lokasi pemburuan haram adalah di Endau-Rompin, Mersing dan Kahang. Haiwan yang diburu secara besar-besaran termasuk kancil dan landak, kemudian disyaki dijual untuk tujuan perubatan tradisional.

“Saya mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan dan juga jika senjata yang digunakan mempunyai lesen,” titah baginda.

Baginda menegaskan, secara dasarnya pemburuan adalah tidak dibenarkan di Johor kecuali untuk mengawal binatang liar di ladang atau kawasan pertanian.

“Saya mahukan polis menjalankan audit mengenai pemilikan lesen senjata api di Johor termasuk individu, syarikat serta pemilikan perladangan. Mengapa ramai sangat memiliki senapang patah? Sudah tentu ia untuk memburu.

“Saya juga mahu siasatan untuk mengenalpasti jika ada penglibatan ‘orang dalam’ Perhilitan dan polis yang membantu kegiatan haram ini,” titah baginda.

SH

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker