[VIDEO] Paut Lori Sepanjang 30km Kerana…
Rio de Janeiro: Seorang lelaki terpaksa berpaut pada pintu sebuah lori sejauh 30 kilometer selepas kenderaan berat itu melanggar motosikalnya di lebuh raya di selatan Brazil.
Kejadian itu menyebabkan isterinya yang membonceng motosikal itu, meninggal dunia akibat parah di kepala.
The Sun melaporkan, dalam kejadian minggu lalu, Anderson Antonio Pereira, 49, bersama isterinya Sandra, 47, sedang bersiar-siar dengan motosikal yang baru dibeli kira-kira dua bulan lalu.
Bagaimanapun, Anderson yang cedera sempat berpaut di pintu sebelah kiri lori itu.
Lelaki itu terpaksa bertindak sedemikian supaya pemandu lori terbabit segera memberhentikan kenderaan itu.
Namun, pemandu lori tetap tidak mahu menghiraukan keadaan Anderson dan terus memandu kenderaan itu sejauh kira-kira 30 km.
Ia meskipun motosikal mangsa masih tersangkut di bahagian depan lori berkenaan.
Detik cemas itu menyebabkan kejadian itu menarik perhatian pengguna jalan raya lain.
Bagaimanapun, dengan bantuan orang ramai, pemandu lori itu ditahan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Akibat kejadian itu, isterinya diterbangkan ke hospital menggunakan helikopter tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Anderson yang menerima rawatan di Hospital Ruth Cardoso pula dilaporkan semakin pulih.
Pemandu lori itu pula dijangka berdepan tuduhan menyebabkan kematian Sandra di dalam tragedi itu.
Difahamkan, pemandu lori itu dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah.
Sumber: DailyMail