Bekas CEO PNB dilantik terajui Kumpulan Berjaya Corporation


Berjaya Corporation Berhad (BCorp) melantik Abdul Jalil Abdul Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuatkuasa 16 Mac 2021.

Abdul Jalil merupakan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Menurut kenyataan BCorp, Abdul Jalil akan membawa bersamanya pengalaman selama 18 tahun dalam pelaburan dan kepimpinan perniagaan.

“Selain pengalaman pelaburan, Jalil juga akan membawa bersamanya pengalaman luas bekerja dengan syarikat besar dan lembaga tadbir urus syarikat dan keberkesanan dan kecemerlangan operasi,” katanya.

Melangkah ke hadapan, menurut kenyataan itu, CEO kumpulan yang baharu akan bekerja bersama Pengerusi Eksekutif BCorp., Tan Sri Vincent Tan dan Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching sebagai Jawatankuasa Eksekutif yang mana mereka akan menyumbang kepada Ahli Lembaga Pengarah yang akan terlibat membuat keputusan strategik dan merancang hala tuju perniagaan masa depan Kumpulan BCorp.

Ujarnya, pelantikan baharu itu dilakukan untuk mentransformasikan BCorp kepada syarikat berinstitusi yang diuruskan oleh profesional .

Tambahnya, Abdul Jalil bertanggungjawab untuk melihat semula struktur korporat BCorp, mengoptimumkan kewangan dan sumber manusia, meningkatkan sinergi dan keberkesanan, meningkatkan tadbir urus dan ketelusan korporat, memperkemaskan pelbagai perniagaan kumpulan untuk mewujud serta meningkatkan nilai pemegang saham selain mentransformasikan BCorp sebagai organisasi berprestasi tinggi.

Dalam pada itu Abdul Jalil berkata, beliau gembira dapat menyertai BCorp selepas beberapa bulan berbincang dengan Vincent Tan .

“Kami berdua bersetuju bahawa Kumpulan ini berada di bawah nilai dan mempunyai banyak aset yang boleh dioptimumkan untuk meningkatkan nilai kepada pemegang saham.

“Secara peribadi saya memandang ke hadapan untuk bekerja dengan pelbagai perniagaan dan rakan baharu saya bagi membawa visi masa depan Tan Sri untuk kumpulan Berjaya

“Ia adalah satu penghormatan apabila diberi tanggungjawab yang sangat besar sebagai bukan ahli keluarga yang pertama untuk mengendalikan Kumpulan ini, satu kenyataan yang berniat untuk melihat perubahan dalam Kumpulan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, BCorp turut mengumumkan pelantikan Robin Tan sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif BCorp berkuatkuasa 16 Mac 2021. MG

Percayakah anda Mahathir tidak tahu Zeti lantik CEO PNB yang baru?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker