Mengarut JKOM kalau nak lepas diri, kami ampu PN bukan lawan – Najib Razak

 

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan propaganda Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) semakin “kreatif dan rancak” namun mengarut.

Dalam catatan di Facebooknya hari ini, Najib berkata propaganda JKOM ketika ini amat mudah dengan menyatakan Umno dipengaruhi kluster mahkamah seperti Ahmad Zahid Hamidi dan beliau semakin terdesak untuk menolak “penyatuan Ummah” dengan PPBM pada PRU15, untuk bekerjasama dengan PKR/DAP supaya boleh melepaskan diri daripada kes rasuah.



Bagaimanapun, katanya propaganda itu mengarut, kerana yang tidak menyokong kerjasama dengan PPBM pada PRU15 bukan saja mereka yang ada kes mahkamah, tapi termasuk Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, ketua Pemuda Umno serta hampir semua bahagian parti itu.

“Untuk melepaskan diri dari kes-kes mahkamah, cara terbaik adalah untuk ampu kerajaan PN – bukan lawan kerajaan PN.

“Jika tak percaya, sila tanya Ahli Parlimen PKR yang lompat ke PN beberapa hari lalu, tanya menteri kanan paling kanan yang kesnya tak HD, tanya Zahid Mat Arip yang sendiri mengaku dalam mahkamah telah terima duit rasuah dan tanya Tok Mat serta Mas Ermieyati yang juga menerima dana dari saya sebelum PRU14,” katanya.

‘Kluster mahkamah’ propaganda J-Kom untuk burukkan Umno – Najib



Katanya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sudah membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP untuk PRU15 dan pendirian itu akan diulang pada Perhimpunan Agung Umno (PAU), akhir bulan ini.

Katanya, jika mahu bekerjasama dengan DAP atau PKR sekalipun, ia memerlukan persetujuan bahagian Umno dan akar umbi.

“Dari dulu-dulu lagi dari masa kerajaan PH jatuh dan kerajaan PN ditubuhkan, Umno dan BN telah menyatakan pendirian bahawa kita hanya akan sokong kerajaan PN sehingga PRU15.



“Umno tak pernah bersetuju untuk menyertai PN. Kami hanya bersetuju dengan Muafakat Nasional sahaja,’”katanya,

Beliau secara peribadi juga tidak pernah meminta supaya kesnya digugurkan begitu sahaja seperti kes Lim Guan Eng.

“Saya akan dinafikan peluang untuk membersihkan nama saya dengan sepenuhnya dan akan perlu menghadapi propaganda pihak lawan ini buat selama-lamanya,” katanya.

Tetapi katanya, JKOM terpaksa berulang kali memainkan propaganda seperti itu melalui media sosial dan media dikawal kerajaan kerana amat sukar untuk menjawab yang disebutkan.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker