Mana vaksin buatan Malaysia, soal Anwar


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mempersoalkan kenapa Malaysia belum mula meneroka pengeluaran vaksin Covid-19 sendiri dan jika usaha secukupnya dilakukan untuk menjadikannya kenyataan.

Katanya, kerajaan sebelum ini menyatakan pengeluar vaksin perlu berkongsi pengetahuan mereka dengan Malaysia, jika memeterai perjanjian untuk membeli produk mereka.

“Justeru, penting untuk rakyat dan negara tahu berapa cepatkah fasiliti pengeluaran vaksin ini akan dibangunkan,” katanya dalam kenyataan.

“Mengapakah universiti tempatan serta badan penyelidikan tidak berada di barisan depan dalam mengkaji serta membangunkan vaksin?

“Kita punyai pengalaman dalam membangunkan penawar bagi virus Nipah sebelum ini, dan ia membuktikan kita mempunyai keupayaan bagi mengkaji, menyelidik dan membangunkan vaksin.”

(Penularan virus Nipah pada 1998 hingga 1999 menyebabkan 105 kematian dan penternakan babi hampir lumpuh akibat penyembelihan babi dijangkiti virus itu.)

Minggu lalu, Duta Rusia ke Malaysia, Naiyl M Latypov dilaporkan berkata, negaranya menawarkan perkongsian kepakaran dan pengetahuan dengan Malaysia.

Rusia mengeluarkan vaksinnya sendiri, Sputnik V, di mana Malaysia bakal menerima 10 juta dos.

Anwar turut menyentuh pelaksanaan vaksinasi yang bermula bulan lalu dan mungkin mengambil masa setahun untuk diselesaikan.

“Menteri bertanggungjawab, iaitu Khairy Jamaluddin menyatakan terdapat 1.4 juta orang yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera tidak mendaftarnya dengan lengkap.

“Apa langkah kerajaan setakat sekarang dalam menyelesaikan masalah ini?

“Selain itu, apa yang telah dilakukan kerajaan dalam meyakinkan kumpulan anti-vaksin (mereka yang menolak pengambilan vaksin) memandangkan ianya tidak wajib?

“Sudahkah kerajaan mengenal pasti atau sudahkah kerajaan fikirkan bagaimana untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang vaksin dan juga isu keselamatan vaksin, memandangkan terdapat juga kumpulan yang mempunyai kegusaran terhadap vaksin.”

Beliau turut menggesa kerajaan meningkatkan ketelusan dalam proses membuat keputusan berhubung pembelian vaksin kerana pembayar cukai berhak tahu bagaimana RM3 bilion dibelanjakan. FMT

Jangan main gila: “Ini soal hidup rakyat, bukan lagi pelaburan” – Najib Razak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker