KLIA disenarai 10 lapangan terbang terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disenaraikan antara 10 lapangan terbang terbaik dunia menerusi kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) global bagi kategori lebih 40 juta penumpang setahun pada 2020.

Kaji selidik itu dijalankan Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI), manakala ASQ merupakan tanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi kepuasan menyeluruh penumpang yang merangkumi aspek keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan serta kebersihan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan menyifatkan pencapaian KLIA yang diumumkan ACI pada awal bulan ini susulan usaha berterusan membabitkan inisiatif penambahbaikan biarpun terjejas teruk akibat penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, jumlah trafik penumpang bagi kumpulan MAHB masih rendah berikutan sekatan perjalanan domestik dan antarabangsa dengan hanya 1.6 juta pergerakan penumpang dicatatkan Februari lalu.

Bagaimanapun, katanya, lapangan terbang itu akan tetap meneruskan projek penting seperti pengubahsuaian kemudahan bilik air, pembentukan pasukan kecemerlangan operasi yang mengenal pasti serta mereka bentuk inisiatif penambahbaikan.

Lim Guan Eng ditahan imigresen di Lapangan Terbang

Ini termasuk langkah memperkenalkan “Exceptional People Practice Playbook” – garis panduan manual dwibahasa sebagai panduan untuk petugas barisan hadapan berinteraksi dengan pelanggan mereka.

“Tahun ini, penumpang boleh menjangkakan untuk menikmati perjalanan yang ditambah baik seperti tempoh menunggu lebih singkat dan teknologi pengecaman wajah yang menjadi sebahagian transformasi digital Lapangan Terbang 4.0 kami,” katanya.

Dalam pada itu, Shukrie juga optimis terhadap daya tahan permintaan bagi perjalanan udara.

“Kami telah menyaksikan peningkatan semula (permintaan) yang lebih kukuh, apabila beberapa sekatan perjalanan ditarik balik sebelum ini. Oleh itu, MAHB akan terus mempertingkat tawaran berkaitan.

“Malah, langkah untuk sentiasa peka dengan permintaan penumpang dan industri penerbangan ini akan turut membantu kami terus kekal di kedudukan hadapan dalam persaingan, selain sejajar sasaran kami untuk muncul antara lima lapangan terbang terbaik bagi tahun ini.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker