Lim Guan Eng ditahan imigresen di Lapangan Terbang

Lim Guan Eng ditahan oleh Jabatan Imigresen Sabah ketika tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu semalam.

Lim berkata, dia tiba di lapangan terbang itu pada jam 11.54 tengah hari dengan menggunakan pas lawatan sosial dan pada mulanya berjaya melepasi pihak imigresen.

“Kemudian, sudah hampir nak masuk kereta, seorang pegawai imigresen kanan telah datang minta saya masuk semula. Saya berikan kerjasama dan ikut ke pejabat imigresen.

“Selepas menunggu 20 minit, saya tanya apa masalahnya? Mereka mendakwa bahawa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) telah meletakkan halangan untuk saya masuk ke Sabah. Apa ni? Bukankah ini kuasa kerajaan negeri Sabah?” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki ketika dihubungi menafikan dakwaan itu.

“Tak betul. Mahkamah hanya impounded (menyekat) pasport dia ke luar negara sahaja.

“Dia boleh memasuki Sabah menggunakan kad pengenalan,” katanya kepada Malaysiakini.

Lim berkata bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tidak dihalang memasuki Sabah meskipun menghadapi kes di mahkamah.

“Najib Razak yang didapati bersalah dan telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta boleh masuk tanpa masalah. Zahid Hamidi yang sedang berdepan kes Mahkamah pun boleh masuk tanpa masalah.

“Mengapa saya dihalang masuk ke Sabah? Ini lagi satu kes antara dua darjat, double standard kah?

“Sedangkan ini kuasa kerajaan negeri dan bukan kuasa kerajaan pusat. Adakah ini satu lagi usaha campur tangan pusat terhadap hak dan kuasa negeri?” soalnya.

Lim berkata dia hanya dibenarkan memasuki negeri itu selepas setengah jam ditahan pihak imigresen.

“Tak apalah, nanti saya akan tanya Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal, adakah beliau tak mau saya masuk Sabah?” soalnya.

Ketika pentadbiran BN di bawah ketua menteri Sabah, Musa Aman, sejumlah pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan aktivis dilarang daripada memasuki negeri itu. Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker