Tunggu Jais, PDRM cari Encik Sajjad

 

KUALA LANGAT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus bekerjasama meliputi semua kes syariah terutama bagi melaksanakan perintah dikeluarkan mahkamah.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, jalinan kerjasama itu tidak hanya memfokuskan sesuatu kes semata-mata seperti membabitkan usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat.

“Mais dan Jais sememangnya mempunyai bidang kuasa yang terhad termasuk berkaitan kes perintah mahkamah. Oleh demikian, kita memerlukan kerjasama PDRM bagi membantu pelaksanaan perintah dikeluarkan mahkamah.

“Perkara ini bukan saja melibat kes Muhammad Sajjad malah banyak lagi kes lain sebelum ini,” kata beliau selepas ditemui pada program menyantuni masyarakat Orang Asli di Taman Desa Kemandol, Jenjarom di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Sosial Mais, Suhaimi Ismail dan Ketua Operasi Agihan Daerah Kuala Langat Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd. Fadli Yohman.

Sajat isytihar keluar Islam?

Terdahulu,  Ahmad Shahir turut menyerahkan bantuan fidyah berupa barang keperluan asas kepada puluhan penduduk masyarakat Orang Asli yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan Mais mengesahkan bahawa Jais telah mengadakan perbincangan dengan polis Selangor berhubung isu Muhammad Sajjad.

Pertemuan itu supaya tindakan susulan mana-mana pihak menjadi  teratur dari segi undang-undang.

Muhammad Sajjad menghilangkan diri selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir ke Mahkamah Syariah Shah Alam atas pertuduhan berpakaian seperti wanita pada 23 Februari lalu.

Selepas menyahaktif laman Instagram miliknya beberapa hari lalu, Muhammad Sajjad semalam kembali aktif dengan memuat naik klip video mempromosikan produk jualannya.

Mengulas lanjut, Ahmad Shahir berkata, Mais menyerahkan kepada Jais dan polis untuk tindakan lanjut berkaitan kes Muhammad Sajjad.

“Perintah mahkamah (waran tangkap) sudah dikeluarkan dan kita tunggu hasil kerjasama kedua-dua pihak berkenaan,” katanya. – UTUSAN

JAIS, polis terus kerjasama kesan Sajat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker