Kena kompaun RM10,000, boleh rayu dengan PKD – Ismail Sabri


Selagi berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada Bersyarat (PKPB) mahupun Pemulihan (PKPP) – pihak berkuasa tetap mengambil tindakan saman ke atas individu yang melanggar kesalahan ingkar SOP.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi Ordinan Darurat yang dikuatkuasakan mulai 11 Mac lalu, pihak berkuasa meningkatkan operasi pematuhan bagi mereka yang melanggar SOP dengan mengenakan saman sehingga RM10,000.

“Selagi ada PKP dan tidak ditarik balik, jika ada pelanggaran SOP, tindakan akan diambil.

“Bagaimanapun, Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) sudah mengatakan, bukan semua kesalahan dikenakan denda sebanyak itu, ia untuk yang melakukan kesalahan berulang.



“Kita sudah ingatkan, bila keluar pakai pelitup muka, bila masuk restoran kena scan MySejahtera dan seboleh-bolehnya jangan keluar rumah tetapi mereka ingkar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah SASaR, Satria Residensi di Kem Transmitter, di Sungai Besi hari ini.

Beliau menjawab soalan media berhubung kekeliruan orang ramai mengenai denda RM10,000 yang dikenakan bagi pelanggaran SOP PKP.

Menurut Ismail Sabri, apa yang dilakukan anggota polis dengan mengenakan denda RM10,000 adalah berdasarkan seksyen yang diperuntukan pada surat saman itu.

“Namun, individu yang disaman dan dikenakan kompaun RM10,000 boleh membuat rayuan dengan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD).



“Tidak semestinya apabila dikenakan kompaun RM10,000 dalam surat saman, individu itu perlu membayar RM10,000. Mereka boleh membuat rayuan untuk mengurangkan kadar denda.

“Tugasan anggota polis ialah menjalankan tanggungjawab pematuhan SOP dan mengenakan kadar mengikut seksyen yang ditetapkan dan yang diperuntukan,” katanya.

Mengenai kesesakan berlaku di Sekatan Jalan Raya (SJR), katanya, beliau tidak boleh campur tangan atau menentukan gerak kerja polis.

Beliau juga terkejut melihat situasi itu dan tidak menduga begitu ramai mahu rentas negeri sehingga polis terpaksa mengetatkan pemeriksaan di SJR. MG



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker