Bergaduh hingga seorang maut, polis buru lima lelaki

POLIS sedang mengesan lima suspek lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes pergaduhan hingga mengakibatkan seorang maut di Bangsar awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah lorong di Jalan Telawi 3.

“Mangsa yang maut ialah seorang lelaki berusia 28 tahun yang sebelum itu minum minuman keras di sebuah kedai di Jalan Telawi bersama rakannya yang berusia 30 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anuar, semasa kedua-dua mereka dalam perjalanan ke tempat letak kenderaan, mereka telah berjumpa sekumpulan suspek dan berlaku pergaduhan.

Ujarnya, mangsa yang maut telah ditoreh di bahagian badan dengan menggunakan pisau dan ditikam dengan botol bir oleh suspek.

“Mangsa yang maut juga kemudian cuba melarikan diri ke arah Bangsar Village dan terjatuh di hadapan kedai serbaneka.

“Mangsa kemudian telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh rakannya dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

“Rakan mangsa pula mengalami cedera parah di bahagian muka dan masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Jelasnya, motif kejadian dipercayai berlaku akibat dendam lama antara mangsa yang maut dan suspek.

Tambahnya, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 302/326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan cedera parah.

Orang awam mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau balai polis berdekatan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker