Dua kematian akibat rabies di Sarawak


Dua kes kematian pertama positif rabies dilaporkan tahun ini, dengan kedua-dua kes berlaku di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata bagi kes pertama membabitkan seorang lelaki warganegara berusia 52 tahun di Sarawak.

Katanya, mangsa menafikan mempunyai sejarah digigit atau dicakar anjing atau mamalia lain.

“Bagaimanapun, beliau pernah menangkap dan membunuh seekor anjing peliharaan di kawasan rumah pekerja kilangnya pada 17 Oktober lalu selepas haiwan berkenaan menggigit dua pekerja di kawasan itu.



“Bangkai anjing berkenaan tidak diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak untuk siasatan lanjut.

“Pada 31 Januari lalu, lelaki itu mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke wad di Hospital Sibu kerana mengalami gejala sakit dada, kebas di tangan kanan, muntah dan sesak nafas.

“Keadaan kesihatan beliau merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 5 Februari lalu sebelum disahkan meninggal dunia tiga hari kemudian dengan punca kematian disebabkan jangkitan rabies,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, lelaki itu disahkan positif rabies melalui ujian makmal oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 6 Februari lalu.



Katanya, dua pekerja yang digigit anjing itu sudah mendapatkan rawatan awal dan masih dalam pemantauan susulan oleh pihak kesihatan.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian kedua membabitkan warganegara berusia 54 tahun.

“Pada 5 Mac lalu, beliau dirujuk di Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan gejala lemah di bahagian kaki, sakit seluruh badan, demam, mual dan tiada selera makan.

“Dua hari kemudian, keadaan kesihatannya merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan. Berdasarkan sejarah diberikan, beliau pernah digigit anjing peliharaan pada 26 Disember lalu di bahagian kanan dada ketika mengendalikan anjing berkenaan.



“Anjing berkenaan kemudiannya diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk dihapuskan tetapi tiada sampel ujian rabies diambil.

“Mangsa tidak mendapatkan rawatan selepas digigit anjing peliharaannya. Keputusan ujian rabies PCR ke atas sampel air liur mangsa yang dilakukan di UNIMAS pada 7 Mac lalu adalah positif sebelum dilaporkan meninggal dunia pada hari yang sama akibat jangkitan rabies,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan dua kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017 adalah 33 kes dengan 31 kematian.

“Hanya dua kes mangsa masih hidup membabitkan kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal,” katanya.



Beliau menasihati orang ramai khususnya di Sarawak untuk sentiasa mengambil langkah pencegahan apabila mengendalikan anjing atau haiwan lain.

Sekiranya digigit atau dicakar, katanya, mereka perlulah mencuci bahagian tubuh berkenaan menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

“Segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar, walaupun ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam pandemik COVID-19 ini.

“Sekiranya haiwan berkenaan berubah tingkah laku termasuk menjadi agresif, jangan cuba menangkap atau menyentuh haiwan itu. Laporkan kepada DVS berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya. BH



Wanita berusia 53 tahun korban terbaharu rabies di SarawaK

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker