14 premis diserbu, 58 warga asing ditahan

Oleh – Syeikh Baran

14 premis diserbu, 58 warga asing ditahan

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor berjaya menahan 58 warga asing dalam dua operasi di beberapa premis di sekitar daerah ini dalam serbuan selama dua hari.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan itu membabitkan sepasukan pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa JIM Johor semalam dan kelmarin.

“Serbuan pertama dilakukan dalam Ops Bersama dijalankan secara bersepadu oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

“Sebanyak enam premis diperiksa membabitkan 56 pemeriksaan terhadap warga asing dan warga tempatan.

“Seramai 40 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, semua warga asing yang ditahan itu membabitkan lapan lelaki dan empat wanita warga Myanmar, 11 lelaki dan tujuh wanita Indonesia dan seorang lelaki Pakistan.

“Ini termasuk dua lelaki Bangladesh, dua lelaki dan dua wanita Thailand, seorang lelaki dan seorang wanita Vietnam serta seorang lelaki India,” katanya.

Beliau berkata, usia mereka antara 18 tahun hingga 53 tahun.

Menurutnya, menerusi serbuan kedua lapan premis membabitkan 47 warga asing dan warga tempatan diperiksa dalam operasi Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Sapu.

Katanya, seramai 18 warga asing ditahan kerana pelbagai kesalahan membabitkan tiga lelaki dan enam wanita Indonesia serta tiga lelaki warganegara Bangladesh.

“Ia termasuk dua lelaki dan seorang wanita Myanmar, dua lelaki Vietnam serta seorang lelaki Thailand masing-masing berusia antara 22 tahun hingga 47 tahun.

“Kesemua warga asing yang ditahan melakukan kesalahan bawah Peraturan 17(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana tidak mematuhi apa-apa arahan yang disahkan atas pas.

“Mereka juga disiasat bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan – Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa,” katanya.

Mohd Rusdi berkata, pihaknya terus komited membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan kerjasama semua agensi penguat kuasa di negeri ini.

“Ia bagi memastikan isu kebanjiran PATI di Johor dapat ditangani.

“Tindakan tegas tanpa kompromi turut dikenakan terhadap majikan dan pemilik premis yang masih menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit yang sah,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker