MIC, MCA ingin Tok Mat jadi nakhoda Umno?

Sebaran :

Dengan pensabitan Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi berdepan pelbagai tuduhan, siapa yang akan mengetuai kempen Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang? Kalau ditanya pada pemerhati politik, Timbalan Presiden Mohamad Hasan mungkin boleh menjadi pemimpin itu.

Spekulasi bertiup kencang mengatakan sekutu Umno dalam BN sudah merangka “Plan B”, melibatkan Mohamad menggantikan Zahid sebagai presiden.

“Dalam Plan B itu, ahli-ahli MIC dan MCA mencadangkan Mohamad jadi pilihan seterusnya. Ada kebimbangan terhadap tuduhan-tuduhan mahkamah itu,” kata sumber kepada FMT.

Sumber berkata, kemungkinan Zahid terbeban dengan kes-kes mahkamah, yang sedang berjalan di kala darurat, juga membimbangkan mereka.



Katanya, Mohamad bukan sekutu rapat Perikatan Nasional dan mungkin tidak akan bekerjasama dengan gabungan itu, serta “tidak akan jual BN kepada PN”.

Sumber berkata, MCA dan MIC berharap dua perkara akan dapat diselesaikan – penggunaan lambang Barisan Nasional pada PRU15 dan pengagihan kerusi secara adil.

“Mohamad mungkin pilihan terbaik untuk menggantikan Zahid. Beliau agak berkarisma dan disukai masyarakat bukan Melayu.

“Beliau juga faham perniagaan dan ekonomi. Masyarakat bukan Melayu tiada masalah dengannya,” tambahnya.

Hubungan Umno dan PPBM teruji sejak September tahun lalu, dan keadaan menjadi semakin genting dengan surat Zahid kepada Presiden PPBM Muhyiddin Yassin, menyatakan bahawa tiada kerjasama antara mereka apabila Parlimen dibubarkan untuk PRU15.

Bukan MCA dan MIC sahaja yang berharap Umno akan menggantikan Zahid dengan Mohamad. Menurut sumber itu, PPBM dan gabungan pimpinannya, Perikatan Nasional juga mengharapkan perkara sama.

Sumber PN memberitahu FMT gabungan itu berharap Umno akan mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya nanti.



“Baguslah kalau begitu. Kami sedar ada sebilangan kerusi yang Umno dan PPBM mungkin tidak boleh bersetuju, tetapi kita sasar persetujuan bagi sekurang-sekurangnya 95% kerusi,” katanya.

Beliau berkata PN berharap suatu persetujuan boleh dicapai dengan Mohamad bagi mengelakkan pertembungan antara Umno, PPBM, dan PAS.

“Dengan Zahid, mungkin kita tidak akan dapat elak. Selepas pilihan raya nanti, terpulang kepada Umno untuk bekerjasama dengan kami atau tidak, tapi sebelum pilihan raya, kami harap kita tidak akan berebut kerusi,” katanya.

Mohamad, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, kini dalam penggal keempat sebagai ADUN Rantau.



Pengalaman 20 tahun timbalan presiden Umno itu dalam sektor korporat dilihat sebagai penyumbang utama kepada rekod beliau.

Antara dasarnya yang paling penting adalah mengehadkan penggal khidmat exco kepada dua penggal. Semasa beliau mentadbir Negeri Sembilan, pertumbuhan ekonomi negeri dilaporkan meningkat sebanyak 5.2% dan 6.2% pada 2011 dan 2012.

Sebelum pilihan raya 2018, Mohamad berkata, beliau dapat mengurangkan hutang negeri kepada Putrajaya daripada RM2 bilion kepada RM700 juta, meningkatkan rizab tunai kepada RM500 juta, dan menyediakan rancangan pembangunan untuk 30 tahun akan datang.-FMT


Sebaran :

Leave a Reply