Rahib wanita rayu polis junta tidak cederakan kanak-kanak

YANGON – Berlutut di hadapan mereka di sebuah bandar di utara Myanmar, seorang rahib perempuan, Ann Rose Nu Tawng merayu sekumpulan anggota polis lengkap bersenjata supaya mengambil nyawanya dan tidak mengapa-apakan kanak-kanak.

Imej biarawati Katholik merayu kepada pasukan keselamatan itu menjadi tular dengan orang ramai memujinya.

“Saya berlutut dan merayu kepada mereka supaya tidak menembak atau menyeksa kanak-kanak tersebut sebaliknya menembak dan membunuh saya,” katanya kepada agensi berita AFP hari ini.

Tindakan berani Ann Rose di bandar Myitkyina  semalam berlaku ketika Myanmar dilanda huru-hara selepas tentera menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi  pada 1 Februari lalu.

Ketika tunjuk perasaan menuntut demokrasi dikembalikan berlanjutan,  junta tentera  bertindak semakin keras termasuk menggunakan gas pemedih mata, meriam air peluru getah dan peluru hidup.

Kumpulan penunjuk perasaan keluar ke jalan-jalan raya di ibu negeri Kachin, Myitkyina semalam dengan memakai topi keledar dan membawa perisai buatan sendiri.

Ketika pasukan polis  mengepung mereka, Ann Rose dan dua rahib lain merayu kepada mereka supaya beredar.

Ketika itu, rahib berumur 45 tahun  itu berlutut.

“Pasukan  mahu menangkap mereka dan saya bimbang tentang keselamatan kanak-kanak di situ,”katanya.

Sejurus selepas itu, pasukan polis tersebut melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang menunjuk perasaan di belakangnya.

“Kanak-kanak panik dan berlari ke hadapan. Saya tidak dapat berbuat apa-apa kecuali berdoa kepada Tuhan supaya menyelamatkan dan membantu kumpulan kanak-kanak itu,” ujarnya.

Sebuah pasukan menyelamat tempatan mengesahkan kepada agensi berita AFP bahawa dua lelaki ditembak mati semasa pertempuran semalam tetapi mereka tidak dapat mengesahkan sama ada peluru hidup digunakan. – AFP

PM Kanada berlutut tanda solidariti

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker