Polis tahan lelaki didakwa murtadkan wanita



Sebaran :

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang didakwa menghasut untuk memurtadkan seorang wanita Islam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, suspek ditahan pada 12.05 tengah hari tadi dan telefon bimbitnya turut dirampas.

Katanya, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman menyiasat kes itu di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 298 dan Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.



Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Polis kini dalam usaha mengenal pasti dan mengesan sama ada terdapat individu lain turut terlibat dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan.

Bulan lalu, tular sebuah video tiga minit 26 saat memaparkan seorang lelaki mengaku memurtadkan seorang wanita Islam, dipercayai isterinya.



Huzir menasihatkan orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan pltaform itu sehingga boleh menimbulkan kegusaran serta menggangu gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.”


Sebaran :


Leave a Reply