Kutlet keluaran Sukee’s Kitchen mula curi perhatian ramai

PETALING JAYA: Vasukee Rajalingam kelihatan teliti ketika menyediakan kutlet daging buatannya sendiri sebelum mencelupnya ke dalam telur dan serbuk roti untuk digoreng.

Dia melakukan proses sama terhadap enam lagi kutlet ikan sebelum memasukannya secara perlahan-lahan ke dalam minyak panas dan menggorengnya sehingga berwarna keemasan.

Hidangan yang diperbuat daripada tuna, kentang dan campuran rempah menghasilkan aroma menyelerakan yang memenuhi setiap ruang dapur.

“Sebenarnya terdapat cara yang lebih sihat sama ada secara bakar atau ‘air-fry’ tetapi saya memilih untuk menggorengnya kerana lebih sedap,” katanya.



Vasukee menyalut kutlet daging ke dalam telur untuk membolehkan serbuk roti melekat. (Gambar Cecilia Cletus)

Rasa di bahagian luarnya amat rangup manakala di dalamnya penuh dengan pelbagai perisa apabila tuna dicampurkan dengan pelbagai rempah dari Selatan India.

Ketulan kentang yang diadun dalam campuran kutlet masih boleh dirasai seperti memakan kuih karipap.

Di belakang Vasukee terdapat pelbagai magnet cenderamata yang memenuhi pintu peti sejuknya sekali gus mengingatkan pelbagai negara pernah dikunjungi ketika bergelar pramugari sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19.



“Sejak Januari, saya perhatikan lebih ramai pelancong memakai pelitup muka dan lebih berhati-hati dengan keadaan persekitaran mereka.

“Secara jujurnya, saya tidak pernah menyangka pandemik ini akan sampai ke Malaysia,” katanya sambil menjelaskan penerbangan masih beroperasi seperti biasa sehingga Mac apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Vasukee membuat serbuk rotinya sendiri. (Gambar Cecilia Cletus)

“Jadual penerbangan saya pada Januari dan Februari masih seperti biasa iaitu kira-kira sepuluh ke 15 penerbangan sebulan namun berlaku perubahan drastik pada April. Ia dikurangkan kepada empat kemudian tiga dan langsung tiada pada Mei.

“Penerbangan pada April dan Mei hanya penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara,” katanya.



Dengan penerbangan yang terjejas, Vasukee hilang pekerjaan dan mula risau bagaimana untuk melunaskan segala bil bulanannya.

Apabila rasa paniknya semakin berkurangan, dia mula berfikir dan mencari jalan penyelesaian untuk mencari pendapatan dan melakukan sesuatu yang agak berbeza daripada pekerjaannya.

“Ketika ibu masih ada, saya suka melihatnya memasak di dapur. Kenangan itu lama-kelamaan menjadi inspirasi untuk saya memasak.

“Saya juga mendapat inspirasi daripada suami yang tidak begitu gemar makanan laut tetapi gembira untuk mencuba kutlet tuna ini,” katanya yang mengusahakan makanan itu menerusi syarikatnya, Sukee’s Kitchen.



Dengan mengenakan apron dan sarung tangan, Vasukee mula melakukan kerjanya dengan menyediakan kutlet ikan dan memandangkan dia banyak memasak hidangan Selatan India, pramugari itu berasa lebih yakin untuk menyediakannya.

Kemudian, dia mula memasak kutlet ayam, kambing dan sayur juga.

Kutlet ikan Sukee’s Kitchen terdiri daripada campuran rempah Selatan India, kentang dan tuna. (Gambar Cecilia Cletus)

Namun, jika anda tidak boleh tahan pedas rempah berkenaan, jangan risau terdapat pilihan kurang pedas untuk anda.

Dia mula menyediakan kutlet itu pada Julai lalu dan memasarkannya pada Ogos namun sudah mendapat perhatian daripada pelanggan yang tertunggu-tunggu.



Dia menyedari ia bukannya hanya mendapat sambutan ketika hi-tea atau majlis hari jadi tetapi juga pada perayaan Tahun Baru Cina!

“Setiap kotak mengandungi sedozen kutlet ikan dan boleh disimpan sehingga sebulan di dalam peti sejuk.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa ia adalah segar dan jika anda menempah pada hari Jumaat, saya akan terus membuatnya pada Khamis.

“Paling mencabar apabila ada pelanggan menempah dengan banyak seperti 20 dozen. Saya terpaksa berjaga di dapur untuk menyiapkannya.



“Namun, ia berbaloi apabila membaca komen pelanggan. Saya kini sudah mempunyai pelanggan tetap,” katanya sambil memberitahu terdapat seorang pelanggan memesan 80 hingga 100 kutlet setiap minggu untuk dihantar ke sekolah.

Kutlet buatan Vasukee mendapat komen positif daripada pelanggannya. (Gambar Cecilia Cletus)

“Ramai daripada pelanggan terdiri daripada kru penerbangan dan kini saya mempunyai banyak masa. Apabila jadual penerbangan kembali seperti biasa, saya perlu menguruskan kerja dan perniagaan secara teratur,” katanya.

Vasukee kini dalam proses untuk memperkenalkan perasa udang dan ketam untuk peminat makanan laut serta palak paneer untuk vegan dan keju untuk mereka yang hanya memakan sayur-sayuran.

“Bayangkan kesegaran kutlet keju. Satu gigitan anda akan menikmati kesedapan keju itu dengan puas hati,” katanya.

Ingin merasai keenakan kutlet ini? Anda boleh ke akaun Instagram atau WhatsApp di talian 019-3083422 untuk tempahan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker