Lailatul Qadar, 10 malam terakhir

Lailatul Qadar, 10 malam terakhir

oleh Mohd Shahrizal Nasir

Hangat diperkatakan mengenai tarikh 1 Syawal bagi tahun 1444 Hijri ini. Ada dalam kalangan insan dilihat menggesa pihak berkuasa agama Islam memberi panduan berkenaan tarikh 1 Syawal kerana khuatir peristiwa ‘raya mengejut’ tahun lalu berulang kembali. Bagi menangani perkara ini, umat Islam sewajarnya menghormati ketetapan sediakala digunakan bagi menentukan tarikh hari raya.

Bukan sahaja untuk menentukan 1 Syawal sahaja kaedah rukyah iaitu melihat anak bulan digunakan, malah untuk menentukan tarikh hari raya Aidiladha pada tanggal 10 Zulhijjah juga melibatkan rukyah anak bulan bagi menentukan 1 Zulhijjah. Sepertimana sedia maklum, penentuan tarikh 1 Ramadan menggunakan kaedah rukyah dan perkara ini menjadi amalan sejak sekian lama.

Perkara melibatkan kaedah rukyah bagi menentukan pelaksanaan ibadah umat Islam membuktikan berlakunya penetapan sistematik dalam ibadah. Amal ibadah dalam Islam tidak dilakukan secara sewenangnya tanpa penetapan seperti digariskan dalam Islam. Semua ini membuktikan keperluan menjaga kualiti ibadah yang perlu dilakukan pada kadar masa yang ditetapkan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “… Oleh itu, sesiapa daripada antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, Kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia (Allah) tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Rasulullah SAW pula bersabda yang mafhumnya: “Berpuasalah kamu ketika melihat anak bulan Ramadan dan berhentil berpuasa ketika kamu melihat anak bulan Syawal, jika anak bulan tidak kelihatan bagimu maka genapkanlah bulan Sya’ban menjadi tiga puluh hari.” (Muttafaq ‘alaih)

Dalam isu ini, setiap umat Islam di Malaysia perlu mengambil sikap tertib dengan mengutamakan ketetapan dibuat pihak berkuasa agama Islam. Sedarlah dalam pelaksanaan ibadah ada kaedah diguna pakai kerana ia bukan perkara boleh dibuat main atau diurus secara sambil lewa. Kepatuhan terhadap ketetapan pihak berkuasa agama tidak boleh dibuat dengan mengambil kira cakap-cakap orang awam, sebaliknya perlu diperhalusi mengikut kaedah yang digunakan selama ini.

Malaysia antara negara yang menggunakan kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria imkan ar-rukyah (kebolehnampakan) bagi menentukan awal bulan dalam Islam termasuk Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.

Secara ringkasnya, kriteria imkan ar-rukyah merujuk kepada penentuan masuknya awal bulan baharu apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam berada dalam keadaan yang kemungkinan kenampakannya dan hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi syarat tertentu.

Proses menentukan hari raya tidak boleh dilakukan semudahnya kerana ia melibatkan ibadah puasa yang merupakan antara rukun Islam. Tiada perkara yang lebih penting melebihi perkara-perkara melibatkan amal ibadah kerana sememangnya kita diciptakan di dunia ini untuk beribadah kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah az-Zariyat, ayat 56)

Justeru, sepatutnya pada sepertiga akhir Ramadan, umat Islam perlu fokus terhadap tawaran dijanjikan Allah SWT dengan adanya Lailatul Qadar. Aidilfitri pasti tiba setelah berakhirnya Ramadan Oleh itu, usah lepaskan peluang keemasan untuk seluruh umat Islam meraih ganjaran berlipat kali ganda daripada Allah SWT pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

Keistimewaan Lailatul Qadar dinyatakan secara jelas dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 3-5)

Rasulullah SAW menggesa umatnya mencari Lailatul Qadar menerusi hadis yang bermaksud: “Sesiapa daripada kalian mencari Lailatul Qadar, hendaknya dia mencarinya pada sepuluh malam terakhir daripada bulan Ramadan.” (Muttafaq ‘alaih)

Dalil al-Quran dan hadis tersebut petunjuk jelas keistimewaan Lailatul Qadar untuk dimanfaatkan sepenuhnya agar kita dapat menambah amalan kebaikan dalam suratan amalan masing-masing. Tempoh usia dianugerahkan Allah SWT kepada umat nabi Muhammad SAW tidak lama iaitu sekitar 6o tahun sahaja atau lebih sedikit. Maka dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT jualah kita semua dianugerahkan Lailatul Qadar yang amat istimewa ini.

Rasulullah SAW menerusi hadis ada menyatakan tanda berkaitan Lailatul Qadar. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Pada pagi hari malam Lailatul Qadar, matahari terbit dengan tidak ada sinar yang menyilaukan, (ia) seperti bejana hingga meninggi.” (Hadis riwayat Muslim). Hadis ini merujuk kepada tanda berkaitan Lailatul Qadar tetapi pada pagi selepas berlakunya Lailatul Qadar. Dengan kata mudah, tanda itu memberi petunjuk Lailatul Qadar sudah berlalu, bukan tanda seperti ini yang kita nantikan.

Sebenarnya jika kita melipatgandakan usaha melakukan ibadah wajib dan sunat sepanjang Ramadan khususnya pada sepuluh malam terakhir, nescaya kita menemui Lailatul Qadar meskipun kita tidak menemui tandanya secara zahir. Hakikatnya, malam tersebut pasti datang daripada sepuluh malam terakhir Ramadan.

Ada sesetengah orang beranggapan Lailatul Qadar berlaku hanya pada tempoh masa singkat. Bagi yang terlepas tempoh ini, maka dia tidak akan menemui Lailatul Qadar dengan segala kelebihannya. Pandangan sebegini tidak tepat kerana Lailatul Qadar berlaku dalam tempoh lama iaitu sepanjang malam. Apakah yang kita fahami dengan malam? Malam berlangsung daripada tenggelam matahari hingga terbit fajar. Maka selama tempoh itulah kita wajar memanfaatkannya dengan amal ibadah, lebih-lebih lagi jika berlakunya Lailatul Qadar. Hal ini sepertimana dijelaskan Allah SWT pada ayat terakhir surah al-Qadr: “Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.”

Dalam usaha mencari Lailatul Qadar, apakah sebenarnya yang perlu kita lakukan? Usah hanya mencari Lailatul Qadar dengan erti kata sekadar mencari. Malam tersebut perlu dimanfaatkan dengan amal ibadah. Lakukanlah sebanyak mungkin amal ibadah agar kita tidak terlepas daripada memperoleh keistimewaan Lailatul Qadar.

Daripada Ummul Mukminin Saidatina ‘Aisyah RA, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, apabila aku mengetahui waktu Lailatul Qadar, apakah yang mesti aku ucapkan pada saat itu?” Baginda menjawab: “Katakanlah, Allahumma innaka ‘afuwwun, tuhibbul ‘afwa, fa’fu ‘anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau maha pemberi keampunan, suka memberi pengampunan, maka ampunilah daku).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Memohon keampunan kepada Allah SWT antara amalan dianjurkan Rasulullah SAW dalam usaha memanfaatkan Lailatul Qadar. Apa lagi yang perlu diharapkan melainkan keampunan daripada-Nya. Hanya dengan keampunan daripada Allah SWT, hidup kita akan selamat di dunia lebih-lebih lagi di akhirat nanti.

Bagi mereka yang tidak merasa apa-apa dengan Lailatul Qadar dan hanya menghitung hari untuk beraya, muhasabahlah diri kerana keistimewaan malam tersebut amat berharga dan perlu direbut sedaya upaya agar tidak termasuk dalam kalangan orang yang rugi. Kalaupun ada yang tidak berhasrat melipatgandakan amalan dalam memburu Lailatul Qadar, jangan pula melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT pada malam tersebut.

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya tentang Lailatul Qadar menerusi hadis baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran pahala, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Muttafaq ‘alaih)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Lailatul Qadar, 10 malam terakhir

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Sol serabai, bini no. 2 tak reti jaga ke, soal netizen

Anak ND Lala terpaksa utus surat kepada bapa

Bung Moktar pecat 3 Adun Sabah daripada UMNO

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker