DBKL beri tumpuan khusus pembangunan prasarana di Tanah Rizab Melayu

Pemilik tak mahu bangunkan tanah, maka prasarana tidak dinaik taraf, akhirnya jadi kampung yang tertinggal di dalam bandar

 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberi tumpuan khusus dalam merancang pembangunan prasarana di kawasan rizab Melayu supaya kawasan berkenaan tidak ketinggalan daripada arus pembangunan di masa hadapan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha itu dilakukan supaya kawasan rizab Melayu seperti di Kampung Sungai Penchala, Segambut dan Kampung Datuk Keramat dapat mengimbangi pembangunan di sekeliling kawasan berkenaan.

“Biasanya berlaku tidak keseimbangan pembangunan antara kawasan rizab Melayu dan di luar kawasan rizab Melayu. Kawasan luar rizab Melayu pelaburan swasta banyak, kemudian kerajaan pula meningkatkan prasarana dan pemilik tanah pula memajukan hartanah masing-masing.

“Sementara di kawasan rizab Melayu pemilik tanah tidak membuat pelaburan atau tidak mahu membangunkan tanah mereka, maka prasarana juga tidak dinaik taraf maka akhirnya, jadi kampung-kampung yang tertinggal di dalam bandar,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Kampung Sungai Penchala di sini hari ini.

Justeru, Annuar berkata, beliau mahu jabatan yang merancang termasuk DBKL, pejabat tanah dan sebagainya mengubah pendekatan mereka dengan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan di kawasan rizab Melayu dan kampung-kampung tradisi.

Dalam pada itu, Annuar berkata, hasil pertemuannya dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini, pihaknya bersetuju untuk menggunakan data daripada Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) dalam menangani data yang tidak lengkap dalam isu kemiskinan bandar.

“Berdasarkan pengalaman kita, data (kemiskinan bandar) yang ada ini tidak selaras, ada data daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), ada data DBKL dan ada juga daripada e-Kasih,

“Jadi, kita dah bersetuju untuk menggunakan pangkalan data LAKSANA dan semua agensi lain akan memberi maklumat kepada LAKSANA supaya semakan silang dapat dapat dilakukan secara berfokus dan tidak ada lagi kelompok yang tertinggal,” katanya.

Terdahulu, pada majlis berasingan Annuar menjadi antara pemimpin yang menerima suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur kira-kira 10.05 pagi tadi.

“Segalanya berjalan dengan baik, suntikan tiada rasa sakit, jangkaan saya lebih sakit dari itu tapi tak ada rasa apa-apa, macam biasa saja,” katanya yang dijangka menerima dos kedua pada 23 Mac ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut menyeru masyarakat agar segera mendaftar suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera. – Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker