Tindakan mahkamah terhadap 2 Ahli Parlimen PKR sokong PN
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) membincangan tindakan mahkamah terhadap dua Ahli Parlimen parti itu yang bertindak menyokong kerajaan Perikanan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.
Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini.
Serentak itu, mesyuarat itu juga membuat keputusan memecat Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong sebagai anggota PKR berkuatkuasa serta-merta.
“Jentera PKR di kedua-dua cabang tersebut diminta melipat gandakan usaha mendampingi rakyat, menyelesaikan isu dan masalah, serta bersiap sedia mengambil semula kerusi-kerusi ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.
“Majlis Pimpinan Pusat juga telah membincangkan tindakan mahkamah yang telah dan akan diambil terhadap mereka yang telah bertanding di atas tiket PKR tetapi telah mengkhianati mandat rakyat dan keluar parti,” katanya.
Sementara itu Saifuddin Nasution berkata, walaupun dengan tindakan dua Ahli Parlimen tersebut menyokong Muhyiddin namun Perdana Menteri perlu sedar bahawa majoriti ahli Parlimen sudah tidak lagi bersama beliau.
Beliau juga berkata, Muhyiddin sepatutnya tidak lagi berusaha untuk mengekalkan kerajaan yang disifatkan sebagai lemah itu dan perlu meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
“Apa yang jelas, pada ketika wabak Covid-19 masih merebak dan ekonomi negara terus suram, darurat digunakan sebagai alasan mengekalkan kuasa kerajaan yang telah hilang sokongan majoriti iaitu dengan memberi masa untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen melalui ugutan mahupun tawaran jawatan dan habuan,” kata Saifuddin Nasution.
Larry Sng yang merupakan Ketua Cabang PKR Julau dan Steven Choong yang merupakan Ketua Cabang PKR Tebrau telah memberikan Akaun Bersumpah kepada Muhyiddin untuk menyokong kepimpinannya hari ini.
Akuan bersumpan yang telah ditandatangani itu diserahkan kepada Muhyiddin selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan Perikatan Nasional di Putrajaya.
Muhyiddin dalam kenyataan ringkasnya berkata, sokongan Larry dan Steven akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik COVID-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara.-SM
[VIDEO] Janna Nick Sekali Lagi Mohon Maaf – Kes Masih Dalam Siasatan Lanjut