[VIDEO] Janna Nick Sekali Lagi Mohon Maaf – Kes Masih Dalam Siasatan Lanjut

Sebaran :

 

Ketika muncul mengacarakan program Melodi di TV3, tengah hari tadi, pelakon dan pengacara Janna Nick tampil memohon maaf sekali lagi di atas segala kekecohan yang berlaku dan mengambil perkara tersebut sebagai pengajaran buatnya.

Mengakui perkara berlaku ini tidak mudah dilupakan, pelakon drama ‘Marry Me Senorita’ dan ‘Melastik Ke Hatimu’ ini berkata semestinya apa yang sudah terjadi itu ada pengajaran buat seseorang.

“Saya memohon maaf di atas segala kekecohan yang berlaku sepanjang minggu dan saya mengambil ini sebagai pengajaran buat saya. Kiranya, ini adalah sejarah hitam buat saya dan untuk jadi saya manusia lebih baik lagi, Insha-Allah,” katanya.

Mengulas juga mengenai kenyataan-kenyataan yang mengaitkan dirinya kepada rakan pengacara iaitu Awal Ashari, Janna berkata, sebenarnya banyak juga kenyataan dikeluarkan itu tidak pernah keluar dari mulutnya.

“Disebabkan banyak kenyataan yang tak keluar dari mulut saya tapi dikeluarkan, maka sebab itu kita ambil tindakan lebih serius dan bukan niat nak memperbesarkan perkara ini pun,” ujarnya.

Image_2.jpg

Selain itu, Janna juga menafikan perkara yang berlaku itu sebagai strategi pemasaran untuk drama lakonannya. Ujarnya, Alhamdulillah drama yang dibintangi tidak memerlukan strategi pemasaran sebegitu.

Terdahulu, pada Khamis lalu Janna muncul memohon maaf pada sidang media khas secara virtual kepada pihak yang terasa hati dan terguris dengan kontroversi membabitkannya yang didakwa mempersenda anggota kumpulan popular Korea Selatan, BLACKPINK iaitu Lisa Manoban dengan nama Lisa BLACKPIG di Instagram, baru-baru ini.

“Saya mengambil tanggungjawab ini untuk meminta maaf dengan seikhlas hati andainya terguris hati mana-mana pihak dengan kapsyen yang sudah dimuat naik itu,” tuturnya.

Hadir sama pada sidang media itu, peguam mewakili Janna, Ben Syazmin dari Tetuan Tan Norizan & Associates yang memberi penjelasan terhadap isu tular berkenaan serta tindakan undang-undang yang bakal diambil pelakon itu.

Image_3.jpg

Ben berkata, laporan polis sudah dibuat termasuk aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung perkara itu yang masih lagi dalam siasatan lanjut.

“Anak guam saya (Janna Nick) akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu yang menularkan semula video mendakwa dia mempersenda kematian seorang bintang K-Pop pada 2017 lalu.

“Sebelum ini, Janna juga sudah memberi penjelasan dan memohon maaf mengenainya, namun ditularkan semula di media sosial sehingga anak guam saya menerima pelbagai kecaman.

“Menerusi insiden berlaku ini, Janna menerima beberapa ugutan jenayah, ugutan bunuh, fitnah dan dakwaan palsu yang memerlukan tindakan serius diambil untuk keselamatan,” jelas Ben.

Bagaimanapun, kes yang sudah dilaporkan kepada pihak polis masih lagi dalam siasatan lanjut dan dikategori atas ugutan jenayah.

Image_4.jpg


Sebaran :

Leave a Reply