Macau Scam : Mahkamah tolak permohonan suspek bebas tahanan POCA

Sebaran :

KUALA LUMPUR, 26 Feb — Enam lelaki warganegara China yang ditahan kerana didakwa terlibat dalam Macau Scam dan sindiket perjudian dalam talian akan kekal dalam tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Ia berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid yang menolak permohonan mereka terhadap perintah tahanan awal selama 59 hari di bawah Seksyen 4(2)(a) POCA.

Enam lelaki warga China itu ialah Jiang Xiang, Wang Jun Cheng, Li Jiang, Luo Hong Bin, Lei Meng dan Yu Xiang Yu yang ditahan dalam operasi khas polis berkaitan sindiket perjudian dalam talian pada Oktober tahun lepas.

Azhar membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal responden iaitu Inspektor Wayandiana Abdullah yang sedang menyiasat kes itu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan.

“Saya dapati perintah tahanan di bawah Seksyen 4(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah telah menjadi akademik memandangkan pemohon telah ditahan selama enam bulan di bawah Seksyen 19A(1) akta sama.

“Mereka kini ditahan di Pusat Pemulihan Khas (PPK) di Simpang Renggam, Johor dan Bentong, Pahang. Oleh itu, bantahan awal responden dibenarkan dan permohonan writ habeas corpus ditolak,” kata Azhar.

Azhar berkata selepas meneliti dan mempertimbangkan penghujahan yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak, beliau mendapati POCA juga terpakai kepada bukan warganegara.

“Alasan penuh penghakiman akan siap menjelang minggu depan,” katanya.

Keenam-enam lelaki itu ditahan pihak polis pada Oktober tahun lepas dan direman selama 59 hari bermula 23 Nov 2020.

Peguam Gobind Singh Deo dan Jacky Loi yang mewakili pemohon berkata mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Dalam permohonan yang difailkan secara berasingan, mereka memohon perintah bahawa penangkapan dan penahanan mereka di bawah akta itu tidak mempunyai asas, tidak mematuhi prosedur dan mala fide.

Mereka juga memohon perintah bahawa penahanan mereka tidak termasuk dalam skop akta dan bahawa perbuatan itu tidak terpakai kepada mereka.

Sumber : BERNAMA


Sebaran :

Leave a Reply