LPF potong babak cucuk susuk

 

KUALA LUMPUR: ‘Penat aje berlakon…’

Itu luahan Sharifah Sakinah apabila menyedari penat lelah melakonkan babak ngeri di Sungai Pongsu, Gombak, pada jam 5 pagi untuk drama Aku Yang Kau Gelar Isteri, akhirnya dipotong Lembaga Penapisan Filem (LPF).



Kekecewaan itu dikongsi Sharifah dalam Instagram (IG), baru-baru ini.

Antara babak dalam drama arahan Shuhaimi Lua yang dipotong LPF adalah ketika watak Cik Embun lakonan Lana Nodin membaca mantera dan mencucuk susuk ke dalam alat sulit Laila, karakter yang dibawa Sharifah dalam drama berkenaan.

Bagaimanapun, Sharifah reda biarpun hampir 10 peratus babak drama Aku Yang Kau Gelar Isteri lakonannya dipotong LPF.

“Penat berkarya… Berlakon, serap tenaga dan emosi hendak menghidupkan watak serta jalan cerita.



“Sedikit sebanyak babak dipotong dikatakan terlalu seram dan tidak sesuai untuk tontonan umum… Ini mencacatkan jalan cerita.

“Namun, apa daya dan kuasa yang ada. Saya hanya berlakon. Benar, pelakon dibayar setimpal dengan kerjanya.

 

Sharifah memberi lakonan mantap dalam menghidupkan watak Laila dalam drama Aku Yang Kau Gelar Isteri. Foto Ihsan Shuhaimi Lua
Sharifah memberi lakonan mantap dalam menghidupkan watak Laila dalam drama Aku Yang Kau Gelar Isteri. Foto Ihsan Shuhaimi Lua

 



“Benar, tidak syok… Sedih kerja keras menghidupkan watak ‘disailang’ (dibuang) begitu sahaja,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Shuhaimi turut hampa babak dipotong LPF itu dianggap penting dan menjadi ‘jantung’ kepada cerita dipaparkan.

“Drama ini hanya 30 peratus seram. Penyiar iaitu TV3 juga tahu mengenai perkara ini.

“Babak di mana Laila berkemban juga kami minta kebenaran TV3. Pada saya, babak penting yang dipotong bukanlah keterlaluan.



“TV3 menasihatkan agar babak tertentu dirakam lebih dalam beberapa sudut. Ini dibuat agar jika ada babak disunting, kita ada alternatif lain untuk menampung kekurangan,” katanya.

Menghurai mengenai babak memasukkan susuk ke dalam alat sulit Laila, Shuhaimi berkata:

“Apa yang ditunjuk adalah Cik Embun menyeluk kain untuk mencucuk susuk kepada alat sulit Laila.

“Malangnya, babak itu disunting. Namun, untuk versi penuh, peminat boleh menontonnya melalui platform Iqiyi untuk gambaran lebih jelas,” katanya.



Selain itu, Shuhaimi berkata, babak kena santau, muntah darah dan rambut yang keluar dari mulut juga dipotong.

“Ada kalanya perkara seperti ini menjatuhkan semangat… Sampai rasa tidak mahu mengarah lagi,” katanya.

 

Sharifah dan Lana ketika menjayakan salah satu babak dalam drama Aku Yang Kau Gelar Isteri. Foto Ihsan Shuhaimi Lua
Sharifah dan Lana ketika menjayakan salah satu babak dalam drama Aku Yang Kau Gelar Isteri. Foto Ihsan Shuhaimi Lua

 



Aku Yang Kau Gelar Isteri disiarkan slot Samarinda TV3 sejak 17 Februari lalu, selepas drama Takdir Yang Tertulis, melabuhkan tirai.

Selain Sharifah dan Lana, drama ini dibintangi Nadia Brian, Datuk Adi Putra, Kuza, Zaki Azeman, Jasper Supayah dan Atiq Azman.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker