Naik bas 200km jalani kemoterapi


GUA MUSANG – Seorang ibu tunggal yang menghidap kanser ovari cekal meneruskan kehidupan bersama dua anak lelakinya selepas kehilangan suami sejak 13 tahun lalu.

Zamiraza Zakaria, 47, berkata, dia yang menderita penyakit tersebut sejak lima tahun lalu kini turut disahkan menghidap penyakit kencing manis.

“Saya telah menjalani pembedahan sebaik sahaja didiagnosis menghidap kanser ovari, malah kini sedang menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Raja Pe­rempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

“Pada 2018, kehidupan saya sekali lagi diuji apabila disahkan menghidap penyakit kencing manis, hanya anak-anak pengubat diri ini sekarang,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Tanah Putih di sini semalam.



Zamiraza berkata, rumah yang didiami bersama dua anak­nya adalah bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Suaminya, Che Anuar Che Mood meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

Bercerita lanjut katanya, dia akan menaiki bas dan menempuh perjalanan sejauh 200 kilometer (km) ke HRPZ bagi menjalani rawatan kemoterapi setiap bulan.

“Dua anak lelaki akan mene­­m­a­ni setiap kali rawatan tersebut kerana saya sukar berjalan selepas kaki kiri luka akibat terpijak lebah lima bulan lalu,” ujarnya.



Zamiraza berkata, dia kini bergantung dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

“Anak lelaki sulung, Che Nor Iman Firman, 19, membantu menambah pendapatan keluarga dengan bekerja di sebuah kedai telefon di bandar Gua Musang. Seorang lagi anak, Che Nor Imran Firman, 14, masih bersekolah,” jelasnya.

Simpati dengan nasib keluarga itu, Majlis Jaksa Pendamai Kelantan (MJPK) tampil menyerahkan sumbangan wang tunai dan sebuah kerusi roda.

Bagi yang ingin membantu, boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Public Bank Zamiraza bernombor 6860661632 atau hubunginya di talian 016-513 6992. K Online



Kecoh Chong Wei menghidap kanser hidung

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker