Ramli MS terima menantu

KUALA LUMPUR: Maestro ternama, Datuk Ramli MS menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai ayah apabila menikahkan anaknya, Nadiah dalam majlis akad nikah yang diadakan sederhana hari ini.

Kegembiraan terpancar pada wajah pemuzik yang disegani ramai itu menerusi foto yang dikongsi isterinya, Datin Alyah dalam hantaran di akaun Instagram peribadinya.

Alyah turut mengiringi kapsyen mengenai pengalamannya melakukan persiapan majlis akad nikah anak tirinya yang sangat ringkas tapi cukup bermakna.

Penyanyi berkenaan juga menyatakan rasa penghargaannya kepada ibu kandung Nadiah iaitu Jennifer Thompson yang juga seorang personaliti hiburan terkenal ramai kerana berpeluang menyertai keluarga itu menjayakan persiapan majlis itu.

“Terima kasih @tokram_ramlims untuk pengalaman yang cukup mahal dan bermakna hari ini. Thank you Allah,” tulis Alyah lagi.

Nadiah yang berkhidmat di syarikat rakaman Universal Music melangsungkan pernikahan dengan jurugambar profesional, Taufiq Nadzri.

Selain Nadiah, Ramli dan bekas isterinya, Jennifer juga mempunyai seorang anak lelaki yang dikenali sebagai Najee.

Leave a Reply