Kementerian harap 4,000 penonton dibenar kembali ke stadium

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan mencadangkan sehingga 4,000 penyokong bola sepak atau 10% kapasiti stadium mungkin dibenar menyaksikan perlawanan dalam masa terdekat.

Menterinya, Reezal Merican Naina Merican berkata, protokol pengurusan penonton akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan untuk kelulusan.

Beliau dipetik Bernama berkata, kementeriannya perlu meyakinkan MKN dan Kementerian Kesihatan mengenai kebolehlaksanaan protokol itu.



Bagaimanapun, beliau optimistik penyokong boleh kembali menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi.

Katanya, keyakinannya berdasarkan pemerhatian terhadap pematuhan pasukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan protokol kesihatan serta kebersihan semasa.

Reezal Merican berkata, satu atau dua stadium akan dibenarkan menerima penonton sebelum langkah diperluaskan ke venue lain aksi Liga-M.

“Kita akan perhalusi mekanismenya bersama MFL Khamis ini sebelum dibawa ke MKN.



29 juta penonton Liga Malaysia

“Untuk peringkat awal, kita cadangkan sekurang-kurangnya 10% daripada kapasiti sebenar stadium atau 4,000 orang, yang mana rendah. Penetapan jumlah penonton ini bergantung kepada keadaan stadium terlibat seperti jumlah pintu masuk dan kapasiti,” katanya di Menara KBS.

Beliau berkata, kementeriannya turut mengkaji langkah digunakan negara lain seperti Liga Perdana Inggeris, yang menggunakan sistem berperingkat, manakala Korea Selatan dan Thailand membenarkan sehingga 25% kapasiti stadium.



“Paling tinggi di Victoria, Australia sebanyak 50%, manakala Itali seramai 500 orang. Jadi, saya fikir 4,000 penonton adalah kadar pertengahan.”

Kempen Liga-M 2021 membuka tirai Jumaat lalu dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut, menewaskan Kedah Darul Aman FC 2-0 di Sultan Ibrahim Stadium.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kerajaan mungkin membenarkan kehadiran penonton di stadium pada skala kecil secara berperingkat, jika kes Covid-19 di dalam negara terus berkurangan.

Baru-baru ini, kerajaan membenarkan pawagam serta pusat pameran, mesyuarat, insentif dan persidangan dibuka semula.



EPL: Penonton kembali ke stadium bulan depan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker